Perjuangan Menghentikan Penggunaan Plastik “Sekali Guna


Adakah salah menggunakan plastik? Jawapannya, tidak. Namun, ia menjadi satu kesalahan apabila plastik digunakan hanya sekali dan kemudian dibuang. Pembuangan plastik selepas hanya sekali guna menyebabkan lambakan sampah plastik dan ini merosakkan persekitaran.

Penggunaan plastik sekali guna merupakan frasa paling penting dan popular bagi 2018 terutamanya dalam konteks memperjuangkan kemampanan alam sekitar. Malah, bagi 2019, frasa ini tetap penting kerana “peperangan” menghentikan penggunaan plastik sekali guna merupakan perjuangan yang sukar dan panjang memandangkan masyarakat sudah terbiasa dengan amalan membuang plastik selepas hanya sekali menggunakannya.

Perjuangan menghentikan bentuk penggunaan plastik sebegini juga merupakan perjuangan semua pihak. Apatah lagi bagi masyarakat Muslim, perjuangan ini harus dijadikan antara keutamaan kerana usaha ini adalah sebahagian daripada tuntutan yang perlu dilaksanakan oleh Khalifah Allah iaitu untuk mencegah kerosakan dan seterusnya memakmurkan bumi. Tuntutan mencegah kerosakan ini jelas dinyatakan di dalam al-Quran, surah Ali ‘Imran, ayat 104.

Untuk menggalakkan penglibatan dan kefahaman masyarakat dalam perjuangan menghentikan penggunaan plastik sekali guna maka kita perlu melihat kepada jumlah plastik yang dihasilkan serta kesannya. Satu kajian pencemaran plastik yang dijalankan oleh Jenna R. Jambeck bersama beberapa pengkaji lain dan diterbitkan dalam jurnal berwasit bertajuk Science pada tahun 2015 menunjukkan bahawa daripada 192 negara pesisir, Malaysia berada di tangga kelapan sebagai negara pengeluar sisa buangan plastik terbesar di dunia. Kajian itu juga menganggarkan bahawa bagi tahun 2010, Malaysia menghasilkan 0.94 juta tan sisa plastik terbuang dan lebih kurang 40 peratus daripadanya terbuang ke lautan. Daripada keseluruhan sisa pepejal yang dihasilkan di Malaysia, 13 peratus daripadanya ialah sisa plastik.

Jenis plastik yang paling tinggi penggunaannya ialah botol dan beg plastik. Pada 2016, sebanyak 480 billion botol plastik telah dijual. Dikatakan bahawa satu juta botol plastik terjual setiap satu minit atau 20,000 botol setiap saat. Daripada jumlah botol plastik yang terjual ini, hanya 50 peratus telah dikitar semula. Bagi beg plastik pula, menurut sebuah laporan yang diterbitkan oleh United Nations Environment Programme (UNEP) bertajuk Single-use Plastic: A Roadmap for Sustainability, dianggarkan bahawa antara satu hingga lima trillion beg plastik telah digunakan setiap tahun dan sebahagian besarnya digunakan sekali sahaja.

Masalah utama penggunaan plastik ialah kemampuannya bertahan dalam alam ini. Plastik mengambil masa antara 400 hingga 1000 tahun untuk terurai. Oleh itu, ia membawa kesan tidak baik kepada persekitaran. Misalnya, beg plastik yang dibuang merata-rata boleh menyekat aliran air longkang atau sungai dan membawa kepada masalah lain seperti bencana banjir. Aliran air yang tersekat juga boleh menjadi kawasan “menternak” nyamuk dan haiwan perosak lain. Keadaan yang kotor sebegini akan menjejaskan kebersihan dan boleh menyebabkan pelbagai penyakit. Beg plastik yang dibuang merata-rata akhirnya akan terkumpul di lautan dan membunuh hidupan di sana. Anda pasti pernah melihat perut ikan paus yang dipenuhi bahan plastik. Anda juga pasti telah menonton video yang menunjukkan usaha mengeluarkan penyedut minuman plastik daripada hidung seekor penyu. Dapatkah anda bayangkan betapa sakit dan seksanya haiwan-haiwan tersebut? Bukan sahaja haiwan, terdapat banyak kajian yang telah membuktikan bahawa bahan kimia toksik pada plastik boleh berpindah kepada tisu haiwan, seperti ikan, yang memakannya. Bahan ini akhirnya akan memasuki sistem rantaian makanan dan sistem tubuh manusia apabila kita memakan ikan tersebut. Manakala, jika plastik ini dibakar pula, ia akan menghasilkan gas berbahaya seperti furan dan dioxin yang juga boleh menjejaskan kehidupan alam termasuklah manusia.

Kesan yang dibawa oleh pembuangan plastik secara tidak terurus adalah amat menakutkan. Ini sepatutnya memberi tekanan untuk negara atau masyarakat menghentikan penggunaan plastik atau menguruskannya dengan lebih baik. Di seluruh dunia, termasuk Malaysia, usaha-usaha untuk menghentikan penggunaan plastik sekali guna giat dilaksanakan. Kajian yang dijalankan oleh United Nations Environment Programme (UNEP) dan World Research Institute (WRI) menunjukkan, sehingga Julai 2018, 127 daripada 192 negara yang dikaji telah melaksanakan beberapa dasar untuk mengawal penggunaan plastik. Antara dasar yang telah dilaksanakan ialah cukai terhadap pengeluaran beg plastik, mengenakan bayaran kepada pengguna yang ingin menggunakan plastik, undang-undang atau peraturan untuk mengharamkan atau menghadkan penggunaan sekali guna bahan-bahan plastik seperti straw, sudu, garfu serta pinggan plastik.

Di Malaysia, usaha untuk mengurangkan penggunaan plastik telah bermula dengan “Kempen Hari Tanpa Beg Plastik.” Negeri Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang melaksanakan program tersebut pada 2009. Ini diikuti dengan Selangor dan Melaka, kedua-duanya pada 2011. Manakala pada 2017, Pulau Pinang dan Selangor mula mengenakan bayaran 20 sen untuk beg plastik yang diminta pelanggan. Manakala bagi straw plastik pula, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan memulakan langkah memberi kesedaran tentang keburukan straw plastik bermula 2019 manakala pengharaman sepenuhnya straw tersebut di Malaysia akan bermula pada 2020.

Berdasarkan penjelasan di atas, boleh disimpulkan bahawa usaha untuk membendung masalah penggunaan plastik akan bertambah giat dari masa ke masa. Dijangkakan bahawa, peraturan terhadap penggunaan plastik akan bertambah ketat pada masa akan datang. Malah, akan tiba masanya, pengunaan plastik diharamkan sepenuhnya. Dengan itu, masyarakat Malaysia harus bersedia untuk berhadapan dengan keadaan tersebut. Sebaiknya, jadikan pengurangan plastik sebagai salah satu resolusi tahun baharu bagi mendidik diri sendiri menjadi pengguna bebas plastik.

Sumber: IKIM
Powered by Blogger.