COVID-19: Kes harian COVID dijangka turun ke satu angka pertengahan Mei - Dr Noor Hisham


Jumlah kes positif harian COVID-19 dijangka turun kepada satu angka pertengahan Mei ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini, katanya berdasarkan kes positif harian dalam negara yang merekodkan jumlah dua angka sepanjang seminggu lepas.

Bagaimanapun, beliau berkata capaian kepada unjuran ini bergantung kepatuhan rakyat kepada norma-norma baharu yang diamalkan mereka, sejak Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dikuatkuasakan.

"Kalau tak ada keperluan di luar, duduk di rumah...itulah mesej kita. Sekarang ini duduk di rumah paling selamat, tak dapat jangkitan dari seorang ke seorang.

"Sekarang ini kes kebolehjangkitan pun semakin berkurang...kita harapkan kes ini dari 1,700 kini akan berkurang kepada 1,000, dan kemudiannya 500," katanya dalam sidang media hariannya mengenai COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham menegaskan walaupun kes positif harian direkodkan semakin berkurangan, ia bukanlah disebabkan jumlah saringan yang dibuat semakin sedikit.

Sebaliknya, jumlah saringan kekal dilaksanakan sekitar 11,000 ujian setiap hari, dan sedang ditingkatkan lagi sehingga 22,000 ujian setiap hari, minggu hadapan.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata, kit ujian pengesanan antigen yang ditempah dari Korea Selatan, dijangka dapat membantu KKM menyaring semua petugas kesihatan di barisan hadapan setiap dua minggu.

Malah, katanya kit ujian itu yang dijangka diterima minggu depan itu juga akan diedarkan ke hospital yang merawat COVID-19 di seluruh negara.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut meminta individu yang disyaki terdedah kepada kes positif COVID-19 di Pasar Borong Selayang, untuk tampil membuat saringan, terutama sekiranya mereka mempunyai gejala seperti batuk dan demam.

Menjelas lanjut beliau berkata, KKM sedang giat menjalankan pengesanan kes aktif COVID-19 di pasar basah, yang mempunyai kaitan dengan kluster Pasar Borong Selayang.

“Kita giat laksanakan pengesanan di pasar di Taman Megah, Jalan Osman dan Pasar Chow Kit, untuk mengenal pasti pengesanan kes aktif  terhadap kontak rapat, sebagaimana kita laksanakan pada gelombang pertama, iaitu kita turun padang untuk kenal pasti sejarah dan kenalan beliau dan rakan, seterusnya menyaring keluarga dan kontak rapat,” katanya.

Ditanya sekiranya terdapat kes jangkitan semula dikesan daripada pesakit yang telah sembuh, beliau berkata tiada kes sedemikian dilapor setakat ini.

“Apabila mereka telah discaj, jika mereka mempunyai simptom jadi mereka kemungkinan akan datang semula kepada kita, jika ada sebarang isu, mereka akan telefon kami dan kami akan jalankan ujian.

“Sehingga kini kita tidak ada jangkitan semula, kita ada mungkin… residual, residual yang bermakna ‘virus shading period’ … apa yang penting ialah kita akan pantau mereka secara dekat dan jika mereka mendapat jangkitan, ia satu perkara yang berbeza,” katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.