COVID-19: Amal langkah kebersihan setiap kali kendalikan haiwan - KP Kesihatan


Amalan kebersihan yang baik penting dalam pengendalian haiwan atau haiwan peliharaan bagi mengelak penularan COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya jika pencinta haiwan tidak mampu untuk menjauhkan diri daripada haiwan peliharaan mereka, langkah pencegahan seperti mencuci tangan adalah penting sebelum atau selepas mengendalikan haiwan tersebut.

"Bagi pencinta haiwan, haiwan peliharaan dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga mereka. 

"Cuci tangan anda sebelum dan selepas mengendalikan mereka," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.

Ia susulan laporan media mengenai seekor harimau Malaya di Zoo Bronx, Amerika Syarikat disahkan positif COVID-19, dipercayai tersebar melalui penjaga zoo berkenaan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk nasihat lanjut mengenai perkara berkenaan.

-- BERNAMA 
Powered by Blogger.