Kerajaan sasar tubuh hab robotik menjelang akhir tahun
Kerajaan, melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensinya, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), menyasarkan untuk menubuhkan hab robotik pada akhir tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif MARii Datuk Madani Sahari berkata hab tersebut akan mempromosikan pembangunan robotik dari segi perkakasan dan perisian, termasuk ‘back-end’ dan antara muka hingga aplikasi robotik.
"Kita perlu melakukannya (hab) sebagai keutamaan. Keutamaan kami sekarang ialah pembangunan perisian aplikasi robotik, berikutan itu merupakan bidang yang kami perlu mempunyai keupayaan yang sesuai di Malaysia supaya semua aplikasi industri robotik dan automasi dapat dilakukan secara dalaman dan disesuaikan mengikut keperluan khusus Malaysia untuk peserta industri," katanya kepada pemberita pada Pameran dan Persidangan Robotik dan Automasi Antarabangsa Malaysia, lebih dikenali sebagai Robotex, di sini hari ini.
"Kami menyasarkan untuk mempunyai hab tersebut pada akhir tahun, bagaimanapun, kami belum menentukan lokasinya.
"Kini terdapat dua lokasi (yang sedang dipertimbangkan). Satu di Cyberjaya dan satu lagi di Bukit Beruntung, dan masing-masing mempunyai kelebihan kos.
"Sebuah kawasan boleh menjadi lebih mahal daripada yang lain tetapi kumpulan kemahiran dan tenaga kerja juga penting dan perlu diambil kira untuk memutuskan lokasi kami akan menubuhkan hab robotik kami," katanya.
Madani berkata ia akan menjadi hab yang boleh digunakan oleh usahawan robotik dan pengguna untuk memahami dan mempelajari mengenai robotik.
“Pengguna yang mungkin tidak mempunyai masa untuk ke luar negara untuk memahami bagaimana aplikasi robotik dapat membantu proses mereka boleh datang ke pusat itu dan berbincang dengan kami, supaya mereka mempunyai pandangan yang baik bagaimana robotik boleh digunakan dalam proses tertentu.
"Jika mereka memutuskan untuk memilih jenama tertentu, justeru ia akan menjadi amat khusus dan disesuaikan mengikut keperluan khusus mereka," katanya.
Sebagai permulaan, syarikat dalam robotik, Madani berkata, boleh menggunakan kemudahan itu untuk pembangunan dalaman mereka sendiri sebelum terlibat dalam pengeluaran besar-besaran.
Edisi pertama Robotex, yang dianjurkan secara bersama oleh One Robotex Sdn Bhd dan MARii, dijangka menarik 5,000 pengunjung perdagangan.
Robotex 2019, yang berlangsung mulai hari ini hingga 2 Ogos, diadakan untuk peserta pasaran dan pihak berkepentingan industri, agensi kerajaan dan sesiapa yang bersedia mengambil lonjakan besar dalam robotik dan automasi untuk meninjau peluang perniagaan yang lebih besar dan teknologi terkini dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.
Pameran itu, meliputi keluasan lantai kasar 5,772 meter persegi, mempunyai 200 gerai pameran diterajui oleh 118 peserta pameran dari Malaysia, Korea dan Singapura.
— BERNAMA
Post a Comment