PRIHATIN : Golongan B40 manfaat untuk kegunaan keperluan harian


Abdullah Jusoh, 67, merupakan bekas pengawal keselamatan yang mempunyai tujuh anak berusia lingkungan 12 dan 25 tahun.

Setelah tidak bekerja, hidup mereka sekeluarga banyak bergantung kepada pendapatan isterinya yang bekerja di kedai makan.

Bagaimanapun selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19, pendapatan mereka sekeluarga turut terjejas, tetapi keluarga itu kini menarik nafas lega apabila kerajaan mengumumkan pakej PRIHATIN yang sedikit sebanyak boleh meringankan beban mereka.

“Saya akan guna bantuan ini untuk beli keperluan harian termasuk membayar bil yang ada...kuranglah sikit susah kami,” kata Abdullah yang tinggal di Pancor.

Seorang lagi penerima bantuan PRIHATIN yang ditemui di Bank Simpanan Nasional di Pengkalan Chepa di sini, Abdul Halim Che Ismail, 73, berkata bantuan itu amat bermakna baginya yang tidak lagi mempunyai kudrat untuk bekerja.

“Sebagai pesara askar yang tidak berpencen dan isteri hanya suri rumah, bantuan yang diberikan oleh kerajaan ini sangat membantu meringankan beban saya sebagai ketua keluarga untuk tampung belanja keperluan harian saya dan isteri.

“Jika tidak, saya hanya harap duit saku yang diberikan oleh tiga anak yang sudah bekerja,” katanya.

Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati keadaan di beberapa bank adalah terkawal dan tidak sesak walaupun orang ramai mula mengunjungi bank untuk mengeluarkan wang Bantuan Prihatin Nasional yang mula dibayar hari ini secara berperingkat. 

Orang ramai juga dilihat mengenakan penutup hidung dan mulut sebagai perlindungan diri dan mengekalkan jarak sosial satu meter seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.