TVET-Tahfiz bantu bina kemahiran dalam kalangan pelajar tahfiz - Mahfuz


Kementerian Sumber Manusia sedang bekerjasama dengan kerajaan Kedah untuk menjadikan negeri ini sebagai perintis Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)-Tahfiz, bertujuan untuk membantu meningkatkan kemahiran di kalangan pelajar tahfiz.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, semasa perbincangan awal dengan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, persetujuan untuk program itu sudah dicapai dan ia akan direalisasikan menerusi kerjasama Yayasan Pendidikan yang baru ditubuhkan di bawah Pejabat Menteri Besar Kedah.

Beliau yang juga Ahli parlimen Pokok Sena berkata program ini merupakan usaha kementerian untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajar tahfiz selain membantu melengkapkan diri mereka dengan kemahiran bagi mengurangkan gejala kemiskinan bandar.

"Buat masa ini (TVET-Tahfiz) masih di peringkat perbincangan, selepas itu baru kita akan minta kementerian melihat dasar bagaimana program itu boleh dilaksanakan," beliaunya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 300 pelajar dalam kawasan Parlimen berkenaan yang layak menyambung pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Mahfuz mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun yang melahirkan kebimbangan mengenai gejala kemiskinan bandar yang membelenggu warga kota.

Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, menyifatkan gejala kemiskinan bandar lebih serius daripada kemiskinan di kampung dan berharap lebih banyak peluang pekerjaan dicipta untuk golongan muda di kampung bagi mengurangkan penghijrahan orang muda ke bandar.

Mahfuz berkata langkah mewujudkan program dan memberi kemahiran TVET kepada pelajar tahfiz adalah sebagai persediaan untuk menempuh alam pekerjaan atau mencipta kerjaya sendiri dengan menjadi usahawan setelah mereka tamat pengajian.

“Tidak semua daripada mereka mampu menghafal 30 juzuk al-Quran, ada antara mereka yang tidak mampu menghafal sampai 10 juzuk pun. Jadi, kemahiran TVET boleh bantu mereka untuk mencari kerja yang sesuai dengan kemahiran sendiri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mahfuz berkata Malaysia menghantar 20 peserta menyertai Pertandingan Kemahiran Dunia 2019 yang akan berlangsung pada 22 hingga 27 Ogos di Kazan, Rusia yang melibatkan 1,600 peserta dari lebih 60 negara.

"Peserta terpilih terdiri daripada pelajar institut kemahiran dan politeknik. Kita bersetuju untuk memberikan ganjaran dengan pemenang pingat emas akan menerima RM40,000, bagi perak RM20,000 dan RM10,000 bagi tempat ketiga.

“Bagi peserta yang berjaya memenangi pingat emas, mereka akan turut diberikan diploma kemahiran di atas kejayaan mereka dan saya anggap itu akan menjadi hadiah bermakna sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos," katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.