Gelongsor air terpanjang dunia dijangka dibuka kepada orang ramai di P.Pinang bulan Oktober


Gelongsor air terpanjang di dunia sepanjang 1.1km di taman tema Escape Pulau Pinang di Teluk Bahang di sini dijangka akan dibuka kepada orang ramai sekitar dua minggu terakhir bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif taman tema itu, Sim Choo Kheng berkata gelongsor berkenaan akan dibuka sebaik sahaja Fasa 3 pembangunan taman tema itu disiapkan, dengan aktivitinya bertumpu kepada permainan ‘gravity play’ termasuk gelongsor air, lif ski, permainan mendaki bukit dan lumba ‘tubby’.

“Jumlah pelaburan untuk pembangunan di fasa semasa adalah RM12 juta dan gelongsor air itu sahaja menelan belanja RM15 juta,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Sim menerima sijil pengiktirafan Guinness World Records (GWR) daripada wakil badan itu Pete Fairbairn sebagai pengiktirafan gelongsor air terpanjang dunia, yakni tiga kali lebih panjang berbanding pemegang rekod sebelum ini di Jerman (356 meter).

GWR memberi pengiktirafan rekod dunia buat gelongsor air di taman tema itu pada 6 September lepas.

Sim berkata cubaan memecahkan rekod itu sebenarnya berlaku secara tidak sengaja kerana pihaknya lebih tertumpuan kepada usaha menampilkan gelongsor yang menghiburkan penggunanya untuk tempoh masa yang lebih lama.

“Fokus utama konsepnya adalah untuk memelihara persekitaran alam sekeliling dan pelawat dapat menikmati serta menyayangi alam sekitar semasa berhibur,” katanya.

Beliau berkata pemasangan fizikal gelongsor itu mengambil masa lapan bulan menggunakan peralatan asas seperti pengangkut berantai dan perancah bagi memastikan kerosakan minimum kawasan hutan sekelilingnya.

Gelongsor air dengan puncaknya berada di ketinggian 70 meter dari aras tanah itu mengandungi 488 bahagian dan 326 pengadang tepi, dipasangkan dengan 10,248 set nut dan baut, dengan disokong oleh tiang besi yang jumlah panjangnya 1.2 km dan jumlah beratnya 66 tan.

-- BERNAMA

Powered by Blogger.