Bukan benci LGBT
Kumpulan Bunkface mendakwa seni kata single terbaharu, Akhir Zaman bukan bermakna membenci golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), sebaliknya mempertahankan pegangan agama.
Single Akhir Zaman tular berikutan didakwa mempromosikan kebencian terhadap golongan LGBT hingga muzik videonya yang dimuat naik pada 26 Februari lalu dikeluarkan oleh YouTube, semalam.
Vokalisnya, Sam berkata, lirik berbunyi ‘LGBT pergi mampus’ tidak ditujukan pada mana-mana individu, sebaliknya kepada gerakan komuniti yang semakin berleluasa seluruh dunia.
“Perkataan LGBT digunakan dalam lirik lagu ini bukanlah ditujukan kepada sesiapa, tetapi ia fokus kepada gerakan komuniti terutama mereka beragama Islam di negara ini.
“Memetik sebaris ayat dari kitab suci al-Quran, ‘engkau agamamu aku agamaku’ menerusi surah Al-Kafirun ayat enam. Mesej lagu ini hanya ditujukan kepada mereka beragama Islam.
“Lebih lagi, lirik lagu ini dihasilkan dalam bahasa Malaysia kerana majoriti umat Islam terdiri daripada bangsa Melayu. Ia supaya jelas, nyata dan terang untuk difahami,” katanya kepada BH Online.
Selain Sam, Bunkface juga dianggotai Youk dan Paan. Justeru, kumpulan yang popular menerusi lagu Darah Muda itu mahu ajaran Islam menjadi pegangan dan diketengahkan dalam lagu mereka.
“Sekali lagi, saya ingin menekankan kami tiada niat mahu membenci mana-mana individu atau mempromosikan kebencian terhadap mereka. Apa yang kami tentang adalah gerakan LGBT yang sedang mempromosikan hak secara terangan di Malaysia. Lagu ini ditujukan khas kepada mereka beragama Islam dan bangsa Melayu.
“Yang haram tetap haram. Definisi Islam itu sendiri bermaksud menyerah atau tunduk patuh kepada ajaran-Nya. Jadi, siapalah kita untuk mempersoalkan hukum hakam yang ditetapkan Allah SWT,” katanya.
Biarpun muzik video dikeluarkan oleh YouTube sejak semalam, Bunkface menerima baik setiap kritikan dan komen yang diberikan dan berharap karya mereka terus diberi sokongan.
“Walaupun lirik video lagu Akhir Zaman dikeluarkan dari YouTube , kami yakin ramai yang akan atau sudah memuat naik lagu ini di saluran peribadi. Apa yang penting, mesej kami masih disebarkan oleh peminat.
“Lagu ini masih boleh distrim di platform muzik digital seperti Spotify, Joox dan Deezer.
“Kami menerima kritikan positif dan negatif yang diberikan. Alhamdulillah, berdasarkan komen yang diterima, majoriti rakyat Malaysia memberi sokongan kepada mesej disampaikan. Terima kasih,” katanya.
Sebelum muzik video Akhir Zaman dikeluarkan di platform digital itu, ia ditonton sebanyak 700,000 pelayar dan menerima lebih 9,000 komen. Lagu berkenaan ditulis oleh Sam, berkisarkan keadaan semasa di Malaysia dan seluruh dunia. - Berita Harian
Post a Comment