Polis buru lelaki memandu lawan arus


Polis sedang mengesan seorang pemandu kereta jenis Perodua Axia yang didapati memandu dalam keadaan melawan arus di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) berhampiran Seberang Jaya hingga video pemanduannya tular di laman sosial Facebook hari ini.


Ketua Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata pihaknya juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian bagi siasatan lanjut dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan dapat tampil membantu polis.


"Setakat ini, polis belum menerima laporan berhubung kejadian itu.


"Dalam kejadian ini, tiada kemalangan dilaporkan berlaku namun tindakan pemandu itu mengundang kemarahan pengguna jalan raya lain.


"Ini dapat dilihat apabila pengguna jalan raya lain membunyikan hon ke atas pemandu kereta terbabit atas tindakan merbahaya berkenaan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.


Laman sosial Facebook hari ini dikejutkan dengan video viral berdurasi 51 saat itu yang memaparkan insiden sebuah kereta berwarna kelabu yang dilihat dipandu secara melawan arus di lorong paling kanan di laluan arah Butterworth.


Beberapa kenderaan didapati cuba mengelak kereta itu dipercayai dipandu dengan kelajuan sederhana.


Video berkenaan dirakamkan salah seorang pengguna jalan raya sebelum dimuatnaik ke dalam Facebook dan ditularkan netizen. - BERITA HARIAN

Powered by Blogger.