Caruman KWSP 7 peratus mulai April


Penurunan kadar caruman berkanun syer pekerja daripada 11 peratus kepada tujuh peratus seperti diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 akan berkuatkuasa mulai bulan April ini.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaklumkan, kadar caruman berkanun syer pekerja baharu itu akan berkuatkuasa mulai upah pekerja bulan April 2020 (caruman untuk Mei 2020) sehingga upah pekerja bulan Disember 2020 (caruman Januari 2021), tertakluk kepada Jadual Ketiga Akta KWSP 1991.

Kadar caruman berkanun syer pekerja baharu itu adalah terpakai untuk pekerja berumur bawah 60 tahun yang wajib mencarum.

“Bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas, kadar caruman adalah kekal seperti sebelum ini.

“Pilihan diberikan kepada pekerja jika mahu mengekalkan caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

KWSP turut memaklumkan pencarum boleh membuat pilihan untuk mengekalkan caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus dengan melengkapkan Borang KWSP 17A (Khas 2020).

“Borang ini hendaklah dikemukakan kepada KWSP melalui majikan masing-masing dan berkuatkuasa mulai bulan berikutnya.

“Ia boleh dimuat turun daripada laman sesawang kwsp.gov.my pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.