MKN bentang perubahan dasar, polisi baharu PKPB, PKPP Sabtu ini


Majlis Keselamatan Negara (MKN) dijangka membentangkan keputusan mengenai sebarang perubahan dasar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada mesyuarat khas Sabtu ini.


Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihak MKN telah membincangkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perkara itu pada mesyuarat jawatankuasa teknikal pagi tadi namun belum membuat sebarang keputusan. 


"Kita akan bincang semula dalam mesyuarat khas MKN kerana pada mesyuarat itu kita akan buat keputusan berdasarkan dasar, polisi baharu yang mungkin mempunyai sedikit perubahan kalau ada,” katanya pada sidang media perkembangan PKPP, di sini hari ini.


Sementara itu, Ismail Sabri berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati menipu, menukar cecair pembasmi kuman dengan cecair peluntur.


Perbuatan itu katanya tidak bertanggungjawab kerana boleh membahayakan kesihatan orang awam.


“Macam-macam kesan sampingan mungkin akan berlaku kalau menggunakan cecair pencuci lantai untuk mencuci tangan, mungkin membawa kesan teruk kepada kesihatan,” katanya.


-- BERNAMA

Powered by Blogger.