Ourshop Bawa Jenama Ejen Ali Tembusi Pasaran Global


Selepas melakar kejayaan meraih kutipan RM29.3 juta, filem animasi Ejen Ali The Movie mencipta satu lagi sejarah apabila menjadi produksi animasi tempatan pertama tembusi pasaran niaga di udara.
Kerjasama yang dijalin bersama syarikat tambang murah, AirAsia itu mampu membawa jenama tempatan ke peringkat antarabangsa.
Selain boleh didapati ketika menikmati penerbangan, barangan Ejen Ali juga dapat diperoleh menerusi platform e-dagang, AirAsia yang dikenali sebagai Ourshop.
Menerusi platform itu, peminat Ejen Ali boleh memesan barangan seperti skuter, buku, walkie talkie dan barangan kembali ke sekolah secara atas talian.
Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, berkata kolaborasi bersama Ourshop amat bertepatan dengan matlamat untuk membawa jenama Ejen Ali ke peringkat antarabangsa.
“Kami amat berbangga diberi peluang bekerjasama sekali lagi dengan AirAsia. Pada 2017 dan 2018, Primeworks Studios pernah bekerjasama dengan AirAsia menerusi #MisiAspirasiAirAsia yang memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk menjadi pemimpin dunia.
“Tahun ini, dengan kejayaan filem Ejen Ali The Movie yang mengungguli carta filem tempatan, kami sekali lagi bekerjasama dengan AirAsia menjual barangan Ejen Ali. Kami lihat kerjasama ini sebagai platform terbaik membawa jenama Ejen Ali ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Ourshop, Lalitha Sivanaser, berkata sekiranya sambutan yang diterima menggalakkan, pihaknya akan menambah jumlah produk supaya pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan.
“Melihat kepada jenama Ejen Ali itu yang cukup berpengaruh dalam kalangan masyarakat di negara ini, kami tertarik untuk berkolaborasi dengan Media Prima Berhad.
“Ejen Ali bukan sahaja jenama besar dan berpengaruh, tetapi turut mempunyai pengikut yang ramai. Matlamat kami adalah untuk mengetengahkan jenama tempatan ke pentas global.
“Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada peminat Ejen Ali dari seluruh pelosok dunia memiliki barangan kegemaran mereka di mana sahaja mereka berada,” katanya. - BERITA HARIAN 

Powered by Blogger.