Ops Naga Selamatkan Hasil Laut Negara, Bela Nasib Nelayan Tempatan


Inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melancarkan operasi khas, Ops Naga, berjaya nasib nelayan tempatan yang terjejas mata pencarian mereka akibat pencerobohan nelayan asing mengaut hasil perikanan negara secara haram hingga merosakkan ekosistemnya.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata melalui operasi itu, 211 vesel ditahan, manakala lima bot dilupuskan, termasuk ditenggelamkan untuk dijadikan tukun bagi tujuan pembiakan ikan serta hasil laut.
“Ini sekali membantu menyelamatkan kehilangan kira-kira RM6 bilion hasil ikan tidak didaratkan di negara ini. Ia turut membantu menyelamatkan ekosistem laut daripada terus dirosakkan oleh kegiatan nelayan asing yang rakus itu.
“Seluruh aset digunakan untuk mengawal perairan negara daripada diceroboh. Ini isu besar apabila saya masuk kementerian ini pada 2018. Nelayan mengadu macam-macam, pencerobohan vesel asing ini bermaharajalela menggunakan pukat yang diharamkan.
“Peralatan seperti bubu naga, pukat harimau, pukat tarik yang ganas ini semuanya dapat kita atasi dengan melaksanakan Ops Naga ini. Mereka bukan sahaja mengaut sumber laut malah merosakkan ekosistem,” katanya dalam satu temubual khas, di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, daripada 211 vesel yang ditahan, 148 daripadanya dikesan di kawasan perairan Semenanjung, 41 di Sarawak, manakala selebihnya di Sabah.
“Ops Naga akan diteruskan tahun ini membabitkan kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar,” katanya.
Ia turut memberi kesan positif melalui pindaan Akta Perikanan 1985 yang diluluskan Dewan Rakyat, 9 Julai lalu, memperlihatkan denda maksimum dinaikkan bagi pemilik atau nakhoda vesel asing yang menceroboh perairan Malaysia iaitu daripada RM1 juta kepada RM6 juta, selain penalti bagi setiap anggota kru turut dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM600,000.
Salahuddin berkata, akta itu turut membolehkan kementerian mengeluarkan lesen untuk penangkapan ikan di laut lepas, industri baharu yang sedang diteroka bagi penangkapan ikan tuna di Lautan Hindi.
“Ikan tuna boleh memberikan sumbangan penangkapan hasil 30,000 metrik tan dan kementerian menyasarkan nilai unjuran kira-kira RM300 juta setahun ketika ini. Setakat ini, kita sudah melesenkan 19 permit yang memenuhi syarat-syarat yang diperlukan dan kita menyasarkan kira-kira 200 lesen dalam masa dua hingga tiga tahun.
“Ini bukan laut dalam lagi tetapi laut lepas. Ini bermakna peserta baru boleh pergi Lautan Hindi. Mereka boleh menangkap ikan tuna dan diwajibkan mendaratkan tangkapan ini di beberapa tempat seperti di Langkawi, Pulau Pinang dan Tanjung Pelepas di Johor,” kata Ahli Parlimen Pulai itu.
Katanya, kriteria bagi memperoleh lesen itu, termasuk memiliki vesel dan peralatan moden, selain menepati Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta mempunyai modal.
Sementara itu, Salahuddin berkata, kementeriannya menyasarkan antara 15 dan 20 pasar nelayan baharu dibuka tahun ini ke arah memperkasakan sosio-ekonomi golongan itu, termasuk melepaskan mereka daripada belenggu orang tengah.
Katanya, inisiatif itu juga bagi mengurangkan lapisan pemasaran, sekali gus membolehkan hasil laut dijual terus kepada pengguna.
“Ada 129 pasar nelayan di seluruh negara setakat ini, yang keseluruhannya membabitkan 558 usahawan. Jika dapat ditambah antara 15 hingga 20 pasar nelayan tahun ini, ia boleh dianggap satu pencapaian yang baik,” katanya.
Salahuddin berkata, ke arah mengatasi isu orang tengah, NekmatBiz.com diperkenalkan sebagai platform penjualan ikan dan produk berasaskan ikan secara dalam talian, selain membangunkan Agromall di Puchong sebagai satu kompleks pemasaran produk hasil pertanian yang dijangka siap akhir tahun ini. - BERNAMA / BERITA HARIAN 
Powered by Blogger.