Pakcik dah kenapa?


Dua anggota polis cedera selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh kereta dipandu seorang lelaki warga emas dalam kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, di sini, hari ini.


Anggota terbabit iaitu lelaki dan wanita berusia 32 dan 26 tahun masing-masing cedera di badan.


Pemangku Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superintendan Nik Rosdi Nik Yahya berkata, kedua-dua mangsa dilanggar ketika mahu keluar bertugas oleh suspek berusia 64 tahun.


Beliau berkata, suspek yang memandu sendiri keretanya diiringi anggota polis ke balai selepas terbabit kemalangan di Seri Iskandar pada 12.10 tengah hari.


"Ketika melalui pos pengawal warga emas itu berhenti, namun tiba-tiba dia mengundurkan keretanya dan melanggar Proton Preve milik polis yang berhenti di belakang keretanya.


"Suspek kemudian memecut masuk ke dalam kawasan IPD dan melanggar dua anggota yang mahu keluar bertugas menyebabkan mereka tercampak ke bahu jalan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Nik Rosdi berkata, suspek terus memandu dan menyeret sebuah motosikal mangsa sejauh hampir 100 meter dan dikejar beberapa anggota.


"Suspek hanya berhenti selepas melanggar pokok sebelum dia berjaya ditahan. Dua anggota yang cedera dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk rawatan lanjut.


"Suspek yang tidak cedera juga sudah dibawa ke hospital sama untuk diambil sampel ujian darah," katanya.


Beliau berkata, motif kejadian belum dapat dipastikan dan lelaki warga emas itu didapati bercakap seorang diri dipercayai berhalusinasi.


"Hasil semakan mendapati suspek tiada rekod kesalahan lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya. - Berita Harian

Powered by Blogger.