Jurugambar Malaysia menang anugerah MTV EMA 2020
Jurugambar tempatan, Catherhea Potjanaporn muncul antara lima penerima trofi Anugerah Ubah Generasi di Anugerah Muzik Eropah MTV 2020 (MTV EMA 2020) selepas karyanya mengagumkan penganjur acara berprestij itu.
Catherhea, 29, berkata, perjuangannya dalam mengubah persepsi masyarakat mengenai isu sosial yang berlaku di negara ini tidak sia-sia. Dalam masa sama, dia merasa kerdil dibariskan dengan penerima lain anugerah itu.
"Saya masih bingung bagaimana saya ditempatkan bersama wanita-wanita kuat, cantik dan berkuasa dari seluruh dunia ini. Apabila saya melihat dan mendengar mereka berbicara, menggigil pula rasanya.
"Mendapat penghargaan daripada jenama besar seperti MTV membuktikan hasil kerja saya mengenai kecantikan yang pelbagai di Malaysia sebenarnya memberi kesan. Sekecil mana pun mungkin suara kita, ia mampu meninggalkan impak," katanya.
Catherhea adalah jurugambar potret yang merakam foto mengenai kepelbagaian paras rupa dan saiz badan. Menerusi karyanya, dia mahu mengubah persepktif masyarakat mengenai standard kecantikan di negara ini.
Empat penerima lain anugerah itu adalah Luiza Brasil dari Brazil, Kiki Mordi (Nigeria), Temi Mwale (United Kingdom), dan Raquel Willis (Amerika Syarikat). Mereka dipilih atas hasil memperjuangkan isu sosial, perkauman dan kesamarataan gender.
Anugerah Ubah Generasi bertujuan memartabat dan memperkasa aktivis muda yang bersuara, membawa perubahan di peringkat global dan memperjuangkan gerakan tertentu. Anugerah itu akan disampaikan anggota Little Mix, Leigh-Anne Pinnock.
MTV EMA 2020 bakal berlangsung Ahad ini secara virtual dan dipancarkan di seluruh dunia menerusi platform MTV. Ia bakal dihangatkan dengan persembahan daripada nama-nama besar dalam muzik.
Mereka adalah Alicia Keys, Sam Smith, Maluma, Doja Cat, DaBaby, David Guetta, YUNGBLUD, Zara Larsson, DJ Khaled, Lewis Hamilton, Bebe Rexha, Rita Ora, Big Sean, Anne-Marie, Aya Nakamura dan dihoskan Little Mix. - HARIAN METRO
Post a Comment