MOTAC Lancar 2 Dsar Baharu Pacu Pelancongan, Kebudayaan Negara


Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan melancarkan dua dasar baharu iaitu Dasar Pelancongan Negara (DPN 2030) dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKN) pada tahun ini untuk memacu sektor pelancongan serta kebudayaan.
Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata kedua-dua dasar itu yang selari dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, masih dalam proses dimuktamadkan sebelum dilancarkan.
“Jika semua berjalan lancar, DPN 2030 akan dilancarkan dalam masa terdekat, manakala DKN akan dilancar selewat-lewatnya dalam tempoh suku pertama tahun ini,” katanya dalam ucapan perhimpunan bulanan MOTAC di sini, semalam.
Mohamaddin berkata, DPN 2030 memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan negara, menggalakkan kerjasama dan pelaburan, memperkasa masyarakat setempat serta mengukuhkan daya tahan industri pelancongan.
Katanya, ia akan dilaksanakan melalui enam teras utama iaitu transformasi tadbir urus, mewujudkan zon pelaburan pelancongan, digitalisasi pelancongan, meningkatkan pengalaman dan kepuasan pelancong, memperkukuhkan komitmen terhadap pelancongan lestari serta meningkatkan kapasiti modal insan.
“DKN pula satu gagasan jangka panjang kemakmuran bersama yang mengambil kira keterangkuman budaya pelbagai etnik di Malaysia.
“Ia menampilkan identiti kebangsaan melalui tujuh teras utama iaitu budaya nilai tinggi, keharmonian masyarakat, kelestarian warisan budaya, kecemerlangan budaya, pembangunan dan pengembangan budaya, pemerkasaan budaya serta penjanaan ekonomi,” katanya.
Sementara itu, Mohamaddin berkata, tahun ini penting khususnya kepada MOTAC kerana Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM 2020) adalah misi nasional yang ditetapkan kerajaan untuk menarik kehadiran 30 juta pelancong asing dengan sasaran perbelanjaan pelancong RM100 bilion.
Susulan itu, katanya, persefahaman dan kerjasama dengan pemain industri pelancongan dalam negara penting bagi membangunkan industri pelancongan berasaskan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025.
“Sepanjang tahun, pelancong ke negara ini dapat menyaksikan keunikan dan keindahan ekopelancongan seperti hutan hujan, gunung-ganang, pulau dan pantai. Pelancong juga berpeluang melihat dan merasai secara interaktif keunikan pelbagai seni, budaya dan warisan negara,” katanya.
Mohamaddin berkata, Malaysia juga bakal menjadi tuan rumah kepada Persidangan Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020, Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC 2020) dan 100 acara membabitkan negeri di seluruh negara sempena VM 2020.
Mengulas pencapaian kementerian pada 2019, Mohamaddin berkata, di bawah Petunjuk Prestasi Utama Menteri (MPI) 2019, MOTAC berjaya melaksanakan hampir semua aktiviti teras dalam Sektor Pemerkasaan Pelancongan dan Sektor Pemerkasaan Kebudayaan dengan peratus membanggakan setanding kementerian lain.
“Bagi tempoh Januari hingga September tahun lalu, kami berjaya mencatatkan peningkatan ketibaan pelancong ke Malaysia sebanyak 3.7 peratus kepada 20.11 juta orang berbanding 19.39 juta orang bagi tempoh sama pada 2018 serta meningkatkan perbelanjaan pelancong asing bagi tempoh sama pada tahun lalu sebanyak 6.9 peratus iaitu RM66.14 bilion berbanding RM61.85 bilion bagi tempoh sama pada 2018,” katanya.
Mohamaddin berkata, antara kejayaan dicapai pada 2019 ialah silat diiktiraf Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai warisan budaya tidak ketara kemanusiaan iaitu di bawah ​​​​​​​kategori ‘Representative List of the Intangle Cultural Heritage of Humanity’.
Beliau berkata, Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menganugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran (PhD) kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali atas jasa dan sumbangan membantu membangunkan bidang kesenian, kebudayaan dan warisan negara.
Katanya, Majlis Kraf Dunia (WCC) sempena Anugerah Kraf Antarabangsa Ketiga pula menganugerahkan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Ikon Kraf 2019 atas sumbangan baginda mengekalkan warisan kraf tradisional negara.– BERNAMA /BERITA HARIAN 
Powered by Blogger.