'Dego Ride Ikut Peraturan'



Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, membuat pemeriksaan mengejut dengan menguji sendiri perkhidmatan teksi motosikal, Dego Ride bagi memastikan ia mengikut peraturan dan selamat.
Beliau menunggu 15 minit selepas membuat tempahan melalui aplikasi perkhidmatan itu untuk ke stesen LRT Pasar Seni dari Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur (IPK) bagi membuat tinjauan kemudahan Jambatan Pejalan Kaki Pasar Seni di sini.
Berkongsi pengalaman beliau menaiki motosikal itu selama 10 minit, Loke mendapati penunggang Dego Ride mengikut peraturan ditetapkan dengan menyediakan topi keledar untuk pembonceng dan menunggang pada kelajuan sederhana serta berhenti di lampu isyarat.
“Walaupun menunggu 15 minit selepas membuat tempahan melalui aplikasi kerana mungkin ia masih baharu, tetapi penunggang Dego Ride mengikut peraturan ditetapkan sepanjang dua kilometer perjalanan ke sini,” katanya kepada media, di sini, hari ini.
Loke berkata, pemeriksaan mengejut dilakukannya itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan syarikat pengendali perkhidmatan itu yang mula beroperasi 1 Januari lalu, mematuhi undang-undang dan tidak menimbulkan sebarang masalah.
Beliau berkata, kementerian akan memantau projek perintis perkhidmatan itu selama enam bulan sebelum sebarang kerangka undang-undang dibuat termasuk keperluan memiliki lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) bagi pemilik motosikal perkhidmatan itu.
“Bagaimanapun, kita menetapkan syarikat yang menjalankan perkhidmatan ini supaya menyediakan perlindungan insurans kepada pembonceng dan penunggang mereka,” katanya.
Perkhidmatan Dego Ride yang dianggarkan mempunyai kira-kira 500 penunggang di Lembah Klang, boleh diakses dengan memuat turun aplikasi perkhidmatan itu pada telefon pintar.
Syarikat e-hailing Grab juga dijangka memperkenalkan perkhidmatan motosikal itu dengan Gojek, syarikat yang memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal di Indonesia.
“Bagi Gojek, setakat ini mereka masih belum membuka syarikat di sini, jadi mereka masih belum dibenar menjalankan perkhidmatan teksi motosikal itu,” katanya.
Sementara itu, Loke meluahkan rasa tidak puas hati apabila tiga daripada empat mesin tiket perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di stesen Kuala Lumpur tidak berfungsi.
Beliau yang membuat pemeriksaan mengejut ke stesen itu selepas meninjau kemudahan Jambatan Pejalan Kaki Pasar Seni itu berkata, perkara itu amat memalukan dan menggambarkan imej tidak baik terhadap pengangkutan awam di negara ini.
“Pada tahun baharu ini, ketika kita sedang menyambut kedatangan pelancong asing ke negara ini dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, keadaan ini tidak boleh diterima,” katanya.
Sehubungan itu, Loke meminta pihak atasan syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini termasuk Prasarana, MRT Corp dan KTMB lebih proaktif turun padang menyelesaikan isu perkhidmatan yang selalu menjadi rungutan pengguna.
“Saya tahu banyak isu (dibangkitkan) khususnya mengenai tiket, banyak aduan mengenai tiket, perkhidmatan KTMB, jadi kita perlu tambah baik. Tiada gunanya kita mempunyai projek besar, membelanjakan berbilion ringgit untuk menaik taraf landasan, stesen tetapi dari segi perkhidmatan, kita jauh terkebelakang,” katanya. – BERNAMA / BERITA HARIAN 
Powered by Blogger.