Banyak lagi alternatif menggantikan penyedut minuman plastik


Usaha seorang lelaki menyelamatkan seekor penyu dengan cuba menarik penyedut minuman plastik daripada hidung spesis itu menggambarkan rasional tindakan kerajaan melarang penggunaan penyedut minuman yang berkuat kuasa awal bulan lalu.
Video yang dimuat naik aktivitis alam sekitar yang juga Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah, Datuk Dr Mohd Rushdan Md Noor menunjukkan betapa penyu itu terpaksa menahan kesakitan apabila penyedut minuman itu tercucuk di dalam hidungnya hingga berdarah.

Video berkenaan pasti mengundang rasa sayu terhadap binatang yang semakin pupus biarpun larangan tersebut mencetuskan polemik dalam kalangan pengguna.

Malah tindakan kerajaan mengenakan denda serta membatala lesen perniagaan, barangan perniagaan dirampas atau boleh dipenjara sekiranya masih gagal mematuhi arahan adalah sangat wajar dan perlu diperluaskan lagi.

Namun sebahagiannya tidak menyokong kerana bahan itu kononnya terlalu kecil dan tidak memberi impak besar kepada pencemaran, selain menjadi keperluan kepada individu tertentu.

Tapi tahukah anda, 80% daripada bahan buangan di laut diperbuat daripada plastik? Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sejumlah 9 juta tan plastik dilepaskan ke dalam lautan setiap tahun dan lebih 2,000 tan adalah penyedut minuman plastik.

Malah beberapa bandar di negara luar telah lama melarang penggunaan penyedut minuman plastik termasuk di UK, Taiwan, Hawaii, Scotland, Costa Rica, Kanada, India dan beberapa wilayah di Amerika Syarikat.

Kini pengguna boleh mencari alternatif lain bagi menggantikan penyedut minuman kepada yang lain.

Guna penyedut minuman besi tidak berkarat

Mungkin bunyi agak kelakar tapi penyedut yang diperbuat daripada besi atau keluli tidak berkarat ini sama sekali tidak mendatangkan kerosakan kepada alam sekitar. Lagi pun penggunaan lebih mudah di mana pemilik hanya perlu membawa sahaja straw tersebut dan bersihkan semula untuk kegunaan seterusnya.

Bawa botol atau cawan sendiri

Paling mudah dan selesa bawa cawan atau botol sendiri, daripada sudut kebersihan juga lebih terjamin kerana hanya pemiliknya sendiri yang membasuh.

Penyedut kertas

Penyedut daripada kertas juga boleh dijadikan alternatif untuk menggantikan penggunaan penyedut sebelum ini, walaupun dibuat daripada kertas ia mudah dilupuskan. Bagaimanapun ia mungkin melibatkan kos pembuatan yang tinggi, kecuali pengguna pandai-pandai membuatnya sendiri.

Penyedut buluh

Pertama kali dengar mesti pelik bunyinya, ia kelihatan lebih klasik namun menguntungkan kerana boleh dikitar semula dengan hanya membersihkan penyedut. Cuma pengguna perlu lebih berhati-hati ketika menggunakan penyedut buluh kerana bersiko tercucuk serpihan buluh.

Penyedut daripada kaca

Terdapat pillihan penyedut minuman daripada kaca yang disifatkan lebih bersih dan mudah dibersihkan, namun bahayanya jika tidak dijaga dengan cermat, mudah pecah dan boleh membahayakan. Buat masa ini, penyedut kaca didatangkan dalam pelbagai warna, tapi ikut keselesaan pengguna.

Menggunakan cawan kertas yang mempunyai penutup

Keadaan ini memudahkan pengguna untuk minum malah digunakan secara meluas oleh rangkaian kedai makanan dan kafe minuman terkenal di negara menjadi antara perintis mengamalkan larangan penggunaan penyedut minuman. Kini pengguna boleh menggantikan cawan kertas yang bertutup yang mempunyai ruang untuk minum. Bukan tidak perlukan ‘straw’ ia lebih bersih dan tidak tercemar.

Latih diri minum tanpa penyedut

Hakikatnya tidak salah minum tanpa penyedut, sama ketika berada di rumah atau di restoran. Minuman berais juga boleh diminum tanpa penyedut jika anda mahu menyahut kempen ini.

Walaupun mengharamkan penggunaan penyedut minuman plastik tidak akan menyelesaikan semua masalah tapi kita harus positifkan minda dan percaya ini adalah langkah permulaan baik kepada perubahan tingkah laku yang berskala lebih besar, selamat mencuba!
Powered by Blogger.