Lukisan remaja autisme terpahat pada arca Putrajaya sempena Hari Kebangsaan


Arca Putrajaya di tengah-tengah Dataran Putra adalah antara tarikan utama pengunjung untuk bergambar bagi mengabadikan kenangan apabila berkunjung ke pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Namun, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa lukisan yang terpahat pada arca itu sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 adalah hasil karya seorang remaja autisme, Wan Jamila Wan Shaiful Bahri, 17. (she)

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata lukisan Wan Jamila dipilih oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 27 Julai lepas untuk diabadikan pada arca tersebut selama enam bulan bermula bulan ini.

Imej pada arca Putrajaya ditukar setiap enam bulan berdasarkan peristiwa penting yang berlaku dalam tempoh tersebut, untuk ditonjolkan kepada enam hingga tujuh juta pengunjung yang melawat Putrajaya setiap tahun.

"Kalau kita teliti karya itu, ada banyak garis putih dan merah (pada imej bangunan ikonik dan bersejarah negara), rupanya ia Jalur Gemilang, barulah kita tahu setiap orang dalam lukisan tersebut adalah cantuman masyarakat Malaysia yang aman dan damai," kata Aminuddin kepada media.

Menurut Aminuddin, lukisan asal Wan Jamila adalah berlatar belakangkan warna biru gelap, namun warna-warna pastel dipilih sebagai warna latar belakang arca tersebut memandangkan ia adalah warna kegemaran Perdana Menteri.

Ibu Wan Jamila, Noorhashimah Mohamed Noordin berkata anak keempat daripada lima beradik itu mengambil masa sebulan setengah untuk menyiapkan lukisan sebesar 152cm x 274.5cm sebelum dicetak semula untuk arca Putrajaya.

"Dia selalunya melukis dari pagi sampai malam, kadang-kadang lapan hingga 10 jam. Tetapi bergantung juga kalau dia ada acara (di luar) dia terpaksa berhenti (melukis)," katanya.

Menurut Noorhashimah, 58, Aminuddin mendapat maklumat mengenai keistimewaan anak perempuannya itu selepas membaca laporan sebuah akhbar yang memaparkan gambar Wan Jamila sedang melukis lukisan bertemakan kemerdekaan.

Selain arca Putrajaya, katanya Wan Jamila juga telah selesai melukis sebuah mural 6 kaki x 20 kaki bertemakan Hari Kebangsaan di Pusat Genius Kurnia, Kuala Lumpur yang merupakan projek dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa).

Menceritakan keistimewaan anaknya itu, Noorhashimah berkata Wan Jamila berkomunikasi melalui lukisan sejak berusia empat tahun lagi dan hanya mula bercakap ketika berusia 10 tahun.

"Dia akan lukis semua yang diingatinya sama ada pemandangan, suasana dalam bilik darjah dan sebagainya," katanya sambil menambah anaknya itu boleh mengingati perkataan yang ditulis oleh gurunya pada papan hitam dan melukisnya selepas pulang dari sekolah.

Menurutnya, Wan Jamila mendapat pendidikan awal di sekolah rendah biasa sebelum diteruskan dengan pendidikan di rumah (homeschooling) dan terapi.

"Oleh kerana sejarah adalah subjek wajib, saya tidak rasa dia boleh membuat penilaian kritikal (critical view). Kalau matematik dan sains dia boleh buat, tetapi yang melibatkan susunan ayat dia tak boleh," katanya.

Noorhashimah yang merupakan seorang bekas arkitek berkata beliau kini menguruskan galeri seni 'artjamila' yang terletak Seksyen 7, Shah Alam yang telah dibuka sejak anak istimewa itu berusia 14 tahun.

Menurut Noorhashimah, Wan Jamila pernah memenangi beberapa anugerah antaranya Autism Star Artist pada National Autism Champion 2019 dan tempat ketiga di National Abilympics Painting Competition 2018.

"Dia juga dipilih sebagai impact art artist oleh sebuah organisasi berpengkalan di Switzerland kerana bagi mereka karya dia karya dia memberi impak.

"Salah satu kepakaran di melukis ikan, jadi organisasi itu berminat dengan lukisan tersebut dan minta dia melukis mengenai pencemaran laut dan mereka membeli lapan keping lukisan dengan tema itu," katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.