Jawatankuasa Pemandu mengenai MA63 perlu bermesyuarat segera
Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mahu Jawatankuasa Pemandu mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri akan bermesyuarat secepat mungkin.
“Saya sangat sedih dan terkilan dengan apa yang berlaku di Dewan Rakyat semalam. Sedih kerana detik bersejarah untuk Malaysia terutama Sabah dan Sarawak tidak tercapai; terkilan kerana ada Anggota Parlimen dari dua negeri itu yang tidak menyokong supaya semangat dan niat MA63 dimasukkan kembali ke Perlembagaan Persekutuan. Semalam itu adalah satu tragedi.
“Apa pun, saya hormati pendirian mereka (Anggota Parlimen yang tidak menyokong); biarlah rakyat yang menilai mereka. Bagi saya, yang penting kini bukanlah untuk kekal kecil hati tetapi malah lebih komited berjuang terutama dalam Jawatankuasa Pemandu. Semoga mesyuarat akan diadakan secepatnya,” kata anggota Parlimen Tuaran itu dalam kenyataan di sini, hari ini.
Madius yang merupakan Anggota Dewan Undangan Dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sabah berkata beliau juga akan berjumpa dengan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam masa terdekat untuk berbincang lebih lanjut langkah yang wajar diambil oleh Kerajaan Negeri Sabah terutama selepas tragedi yang berlaku.
Beliau berharap Jawatankuasa Pilihan Khas dikalangan anggota Parlimen akan diwujudkan segera dan diwakili dalam Jawatankuasa Pemandu seperti keterangan serta pelawaan Perdana Menteri.
“Kepada anggota UPKO dan warga Sabah secara keseluruhan, mohon bertenang. Selaku ahggota Kabinet Sabah, saya sendiri juga akan terus memperjuangkan aspirasi dan kehendak rakyat,” kata Madius. - BERNAMA
Post a Comment