Nyamuk disuntik Wolbachia atasi wabak denggi


Nyamuk yang disuntik bakteria Wolbachia akan dilepaskan di 10 lokaliti yang dikenal pasti pada Julai depan bagi mengatasi peningkatan wabak denggi di kawasan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pelepasan nyamuk itu dijangka mampu menurunkan kes denggi di kawasan terbabit antara 60 hingga 70 peratus, sekali gus mampu mengurangkan kadar kematian akibat denggi.

Katanya, operasi pelepasan nyamuk itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi hari ini, sebagai tindak balas kerajaan terhadap peningkatan wabak denggi yang ketara antara Januari hingga Mac lalu.

“Nyamuk disuntik Wolbachia adalah inovasi dalam menangani peningkatan kes denggi, di mana bakteria Wolbachia disuntik ke dalam telur nyamuk Aedes Aegypti.

“Nyamuk yang disuntik bakteria Wolbachia ini akan merencatkan pertumbuhan virus denggi di dalam nyamuk, dan seterusnya menghalang penyebaran virus denggi,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, operasi pelepasan nyamuk dengan bakteri Wolbachia diputuskan selepas kejayaan program perintis di lima lokaliti yang dijalankan sejak 2017.

“Dalam program perintis itu, hampir empat juta nyamuk disuntik Wolbachia dilepaskan di lima lokaliti dan kami mendapati penurun kes antara 50 peratus hingga 70 peratus,” katanya, sambil menjelaskan kos pelepasan nyamuk itu adalah kira-kira 50 sen seekor.

Beliau berkata, wabak denggi meningkat dengan mendadak, dengan 36,285 kes dilaporkan antara Januari hingga 30 Mac lalu, berbanding 14,734 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 146 peratus.

“Selain itu, sebanyak 59 kematian akibat denggi dilaporkan di seluruh negara berbanding 32 kematian pada 2018, iaitu peningkatan sebanyak 84.4 peratus atau 27 kematian,” katanya.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat hari ini juga bersetuju untuk mengkaji penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi meramal lokaliti wabak untuk melaksanakan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi.

“AI sangat penting untuk digunakan sebagai alat dengan menganalisa pembolehubah seperti kelajuan angin, kelembapan, taburan hujan dan sebagainya untuk meramal wabak denggi.

“Sudah tiba masanya untuk kita meramal untuk menghalang penularan wabak dan bukan hanya sekadar bertindak balas untuk mengawal wabak ini,” katanya. - Berita Harian

Powered by Blogger.