Modul untuk mengehadkan umur minimum perkahwinan bakal diperkenal


Kerajaan akan memperkenalkan satu modul yang menetapkan prosedur operasi standard (SOP) ketat untuk mengehadkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata modul yang sedang disiapkan itu akan menjadi garis panduan mengenai perkahwinan untuk dipatuhi semua negeri dan menjadi kesalahan dari segi undang-undang jika SOP itu tidak diikuti.

“Modul itu sudah kita bincangkan pada peringkat Jawatankuasa Persekutuan yang dianggotai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan sukaneka dan penyampaian baucar pakaian sekolah di Parlimen Parit Buntar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selinsing di sini hari ini.

Seramai 200 murid dan pelajar menerima baucer pakaian sebagai persiapan untuk persekolahan tahun hadapan, di samping meringankan beban ibu bapa, terutama golongan B40.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilaporkan sebagai berkata, kerajaan sedang menyiapkan Draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, walaupun ada negeri yang mahu meneruskan perkahwinan bawah umur 16 tahun, tetapi ia mestilah mematuhi SOP yang ketat. - BERNAMA
Powered by Blogger.