Peningkatan kes koronavirus di Malaysia masih terkawal - Dr Wan Azizah


Peningkatan kes novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di Malaysia setakat ini masih terkawal, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata pengendalian situasi juga berada dalam kapasiti serta keupayaan sumber yang boleh diuruskan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mendapati tiada kes terpencil yang tersebar merata pada tempat dan waktu yang berbeza (sporadik) dan sehingga kini tiada kes kematian yang dilaporkan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu susulan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berhubung 2019-nCoV yang dipengerusikannya semalam. Ia turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah serta pegawai dan agensi berkaitan.

Dr Wan Azizah berkata  menurut KKM, sehingga petang semalam, terdapat satu kes baharu positif koronavirus menjadikan keseluruhan kes di Malaysia meningkat kepada 16.

Mengulas lanjut, beliau berkata penjagaan kesihatan yang baik dapat membantu memulihkan mereka yang positif koronavirus dengan memberi contoh dua kes daripada 16 kes telah discaj dari hospital setelah ujian ulangan 2019-nCoV didapati negatif.

Bagaimanapun, katanya, KKM akan terus memantau perkembangan terkini situasi penularan virus itu melalui maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), negara ASEAN serta Titik Fokus Kebangsaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR).

Memandangkan situasi masih terkawal, beliau menegaskan bahawa tiada keperluan menyekat terus perjalanan keluar masuk dari China kecuali daripada tiga wilayah (23 bandar) yang telah dikenakan sekatan pergerakan keluar masuk.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.