Larangan merokok di tempat awam: Kementerian Kesihatan sedia tambah penguat kuasa


Kementerian Kesihatan akan melihat keperluan menambah pegawai penguat kuasa bagi memantau penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam, termasuk premis makanan bermula 1 Januari tahun hadapan.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye memaklumkan, kementerian itu mempunyai kira-kira 5,000 penguat kuasa sedia ada di seluruh negara, namun menjangka penguatkuasaan larangan itu di kawasan luar bandar akan berdepan sedikit masalah.

“Kita akan menambah pegawai mengikut keperluan dan kita juga faham akan ada sedikit masalah (pemantauan dan penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam) di kawasan luar bandar.

“Bagaimanapun, kita akan mengambil tindakan sewajarnya menjelang 1 Januari 2020,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program “Perak Automated External Defibrillator (AED): Save-A-Life” di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, penguatkuasaan pendidikan larangan merokok di tempat awam, terutama di kawasan luar bandar akan lebih dipergiatkan supaya penduduk memahami peraturan baharu berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan, kementeriannya tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan peraturan larangan minum arak termasuk terhadap pengguna jalan raya yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Bidang kuasa berkaitan perkara itu, katanya, lebih tertumpu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Minum arak dan merokok perkara yang berlainan. Bagi peraturan merokok, kementerian ada bidang kuasa di bawah Akta Makanan untuk mengawal di mana tempat yang dibenarkan untuk merokok dan sebagainya.

“Dalam kes minum arak, apa yang diperuntukkan di bawah Akta Makanan adalah kementerian hanya ada kuasa untuk kenal pasti kandungan dan jenis alkohol yang dibenarkan di negara ini, selain larangan alkohol kepada mereka berumur bawah 21 tahun,” katanya.

Beliau mengulas isu dibangkitkan netizen di laman sosial mengenai kes pemandu mabuk yang semakin menjadi-jadi, termasuk mencadangkan kerajaan menetapkan peraturan larangan mengambil alkohol di tempat dan masa tertentu.

“Penguatkuasaan ini (larangan minum arak di tempat, masa tertentu) sepatutnya PBT boleh membuat peraturan berkaitan,” katanya.

Katanya, memandu di bawah pengaruh alkohol memang tidak wajar dan menjadi kesalahan mengikut undang-undang kerana ia bukan sahaja membahayakan diri pemandu, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.
Powered by Blogger.