Lebih 46,000 rumah RMR dibina dalam tempoh 17 tahun


Sebanyak 46,420 rumah daripada 50,289 permohonan yang diluluskan untuk Program Rumah Mesra Rakyat (RMR), berjaya disiapkan bermula 2002 hingga 31 Okt lepas.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata dalam tempoh 17 tahun itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima sebanyak 93,694 permohonan untuk rumah itu dari seluruh negara.

“Berdasarkan statistik permohonan, sebanyak 35,896 permohonan ditolak dan 7,509 permohonan masih dalam proses penilaian,” katanya pada sesi Kamar Khas persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai status permohonan terkini Program RMR kawasannya di bawah seliaan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB), Raja Kamarul Bahrin berkata daripada 355 permohonan, sejumlah 181 permohonan diluluskan dengan 124 unit rumah siap dibina dan bakinya sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Sebanyak 146 permohonan ditolak kerana tidak mematuhi syarat-syarat kelayakan manakala 28 permohonan masih di peringkat senarai proses atau penilaian kelayakan.

Menjawab soalan sama ada pemohon yang telah menandatangani perjanjian perlu membayar pinjaman walaupun tiada sebarang pembinaan rumah, Raja Kamarul Bahrin berkata mereka hanya perlu membuat bayaran balik pinjaman setelah rumah disiapkan sepenuhnya dan kunci diserahkan oleh pihak SPNB.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.