Kabinet setuju naikkan gred pegawai perubatan berstatus kontrak


Kabinet pada dasarnya bersetuju untuk menaikkan gred pegawai perubatan berstatus kontrak daripada UD41 kepada UD43, dalam usaha menangani ketidakseimbangan gaji doktor di hospital kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata persetujuan itu dicapai selepas pembentangan berkenaan isu berkenaan kepada jemaah menteri baru-baru ini.

“Secara prinsipnya sudah mendapat persetujuan Kabinet dan saya selaku Menteri Kesihatan akan meneliti perkara ini.

“Pada masa sama, saya akan berbincang dengan Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memperincikan perkara itu termasuk mereka yang berstatus kontrak dapat menyambung pengajian pasca siswazah.

“Berapa jumlahnya yang bakal terbabit masih dalam perbincangan lanjut dengan Kementerian Kewangan dan JPA,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Hospital Sultan Ismail Petra di sini, hari ini.

Hospital bernilai RM286 juta itu dirasmikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan isteri baginda, Cik Puan Sofie Louise Johansson.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Kementerian Kesihatan bercadang menaikkan gred pegawai perubatan berstatus kontrak ke gred UD43 daripada UD41 dalam usaha menangani ketidakseimbangan gaji doktor di hospital kerajaan.

Dr Dzulkefly dilaporkan berkata, ia antara perkara yang sedang diusahakan kementerian sejajar dalam reformasi Skim Perkhidmatan Kesihatan (HAC).

Hospital berkonsep ‘Hospital Dalam Taman’ di tapak seluas 100 hektar di Kampung Pahi itu dimulakan pembinaannya pada Mei 2014 dan siap sepenuhnya pada Mei 2018 sebelum memulakan operasi pada September 2018.

Ia memberikan manfaat kepada rakyat Kelantan dengan menjadi hospital pakar kedua terbesar di negeri ini selepas Hospital Raja Perempuan Zainab ll (HRPZ), Kota Bharu.

Hospital itu mempunyai 268 katil serta dilengkapi kemudahan seperti dewan bedah, dewan bersalin, kemudahan rawatan dan diagnostik, selain berfungsi sebagai pusat rujukan tertiari.
Powered by Blogger.