KPDNHEP sokong cadangan perkenal platform dalam talian baharu bagi barangan buatan M'sia


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyokong cadangan bagi mewujudkan platform dalam talian baharu khusus untuk memasarkan barangan buatan Malaysia serta produk tempatan.

Timbalan Menteri Chong Chieng Jen berkata bagaimanapun aspek jaminan serta label pada produk perlu diberikan keutamaan supaya keselamatan pengguna terjamin.

“Kementerian turut menganjurkan misi perdagangan ke luar negara secara strategik bersama-sama pasar raya besar asing di Malaysia bagi memperkenalkan dan mempromosikan kempen Beli Barangan Malaysia melalui program ‘Malaysia Goes Global’ dan ‘Taste of Malaysia’ khususnya di Sarajevo, Shanghai dan Dubai,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata misi strategik tersebut diyakini berupaya untuk merintis peluang pasaran bagi produk tempatan yang berpotensi dan berkualiti di peringkat antarabangsa.

Chong berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Shabudin Yahaya (PH-Tasek Gelugor) sama ada kementerian bercadang untuk memperkenalkan satu medan jualan dalam talian atau aplikasi mudah alih seperti Lazada atau Hopee yang hanya menumpukan produk usahawan tempatan serta industri kecil dan sederhana.

Shabudin berkata cadangan itu bagi membantu produk tempatan menembusi pasaran global dengan lebih sistematik.

Chong berkata pihak kementerian turut memanfaatkan kelebihan ekosistem ekonomi digital dan infrastruktur e-dagang di negara ini dengan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti kempen, promosi dan diskaun jualan secara berterusan melalui portal pasaran dalam talian utama di Malaysia yang mempunyai capaian trafik yang tinggi.

“Kerjasama pihak kementerian dan Shopee contohnya telah mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 100 peratus serta kenaikan tempahan sebanyak 132 peratus bagi barangan buatan Malaysia. Terdapat lebih kurang 3,500 produk usahawan tempatan di platform tersebut.

“Selain itu, KPDNHEP juga bekerjasama dengan syarikat penerbangan AirAsia untuk mempromosikan produk tempatan di dalam pesawat AirAsia menerusi menu dalam penerbangan, katalog dan kedai dalam taliannya, OurShop dan rokki.com,” katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.