Rapid Rail diarah pastikan insiden eskalator rosak sebabkan kecederaan tidak berulang


Rapid Rail Sdn Bhd telah diarahkan untuk mengambil tindakan penyelesaian jangka pendek bagi memastikan insiden kerosakan tangga bergerak (eskalator) di platform Stesen LRT KL Sentral yang mengakibatkan seorang wanita mengalami kecederaan pada 30 Sept lepas, tidak berulang.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan hari ini berkata Pusat Kawalan Kemalangan Kereta Api APAD telah menerima Notis 24 jam dari Rapid Rail selaras dengan kehendak syarat lesen pengendali dan peruntukan Seksyen 145 Akta APAD 2010, dan telah mengambil tindakan serta merta.

“APAD memandang serius insiden terbabit. Sehubungan itu, Rapid Rail juga perlu mengemukakan laporan lengkap insiden yang menyatakan punca dan faktor penyumbang insiden; rekod rakaman kamera litar tertutup semasa kejadian; pelan tindakan, cadangan penambahbaikan dan tempoh waktu penyelesaian.

“ ...rekod terakhir penyelenggaraan dan sijil Perakuan Mesin Angkat (PMA) terkini eskalator terlibat; serta pelan dan rekod terakhir penyelenggaraan, sijil PMA eskalator dan lif di semua stesen di bawah tanggungjawab Rapid Rail,” menurut kenyataan itu.

APAD turut menegaskan keselamatan penumpang merupakan suatu keutamaan dan semua pengendali pengangkutan awam darat hendaklah menitikberatkan amalan keselamatan dalam mengendalikan perkhidmatan pengangkutan masing-masing.

“APAD tidak akan bertoleransi terhadap sebarang pelanggaran amalan keselamatan dan menegaskan bahawa mana-mana pengendali yang gagal mematuhi amalan keselamatan boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang, termasuklah membatalkan lesen pengendali,” katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.