Penubuhan Pasukan Petugas Khas antara inisiatif ke arah teknologi 5G


Penubuhan Pasukan Petugas Khas 5G Negara pada November 2018 merupakan antara inisiatif kerajaan sebagai persediaan menuju era teknologi 5G.

Menurut Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), penubuhan pasukan itu adalah usaha libat urus untuk mencadangkan syor-syor serta strategi pelaksanaan teknologi 5G di Malaysia termasuk sudut keselamatan.

Dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen hari ini, KKMM memberitahu bahawa pasukan petugas khas itu terdiri daripada wakil kerajaan dan swasta seperti sektor penawaraniaitu pemegang-pemegang lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, pengeluar dan pengedar peralatan.

Selain itu, ia merangkumi sektor permintaan (demand side) iaitu industri-industri pembuatan lain, penyelidikan, pembangunan dan perdagangan; kementerian, jabatan agensi kerajaan dan ahli akademik, perunding, badan bukan kerajaan dan lain-lain.

"Melalui Pasukan Petugas Khas 5G Negara, pihak Agensi Keselamatan Siber Negara (National Cybersecurity Agency atau NACSA) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan penyedia-penyedia rangkaian sedang mengenal pasti risiko serta isu keselamatan yang mungkin timbul dan langkah-langkah yang perlu diambil dalam menanganinya," kata KKMM.

Jawapan bertulis itu adalah bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang ingin tahu persediaan kementerian dalam berhadapan isu keselamatan yang mungkin timbul dalam proses pelaksanaan teknologi 5G di Malaysia.

Menurut KKMM, syor-syor itu akan diangkat dalam laporan Pasukan Petugas Khas 5G Negara yang dijangka dibentang menjelang akhir 2019 untuk pertimbangan pihak kerajaan, yang akan mencakupi aspek pemakaian standard keselamatan antarabangsa, penambahbaikan kod teknik industri, serta penilaian keselamatan bagi produk serta solusi 5G daripada pembekal teknologi.

KKMM menjelaskan bahawa langkah-langkah yang diambil adalah antara persediaan bagi mengurus dan menangani risiko serta isu keselamatan yang mungkin timbul dalam pelaksanaan teknologi 5G dalam negara.

Selain itu, kementerian itu memaklumkan pihak SKMM telah bekerjasama dengan Malaysian Technical Standard Forum Berhad yang merupakan sebuah forum teknikal bagi industri komunikasi dan multimedia yang telah membangunkan standard bagi memperkasakan tahap keselamatan rangkaian komunikasi di Malaysia.

Standard-standard itu ialah Requirements for Information and Network Security, Business Continuity Management System (BCMS), Information Security Incident Management dan Security Posture Assessment (SPA) dan ia tergunapakai bagi konteks teknologi 5G serta teknologi-teknologi yang selainnya.

Menurut KKMM, teknologi 5G merupakan evolusi teknologi komunikasi mudah alih terkini yang mampu menawarkan kelajuan akses jalur lebar yang lebih tinggi, kebolehpercayaan penyambungan yang lebih baik, serta kesalinghubungan yang lebih meluas berbanding teknologi komunikasi mudah alih semasa.

Pelaksanaan teknologi 5G di Malaysia dilihat mampu mencorak pelaksanaan perniagaan dan industri bagi memacu ekonomi digital negara sebagai enjin pertumbuhan baharu, menurut KKMM.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.