73 peratus gelandangan di Anjung Singgah dapat pekerjaan
Sebanyak 73 peratus daripada 7,047 gelandangan yang menginap di Anjung Singgah, berjaya dibantu mendapatkan pekerjaan sehingga Januari lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Anjung Singgah adalah perkhidmatan yang disediakan oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) sebagai pusat khidmat sosial bagi menangani gelandangan, dan setakat ini terdapat lima pusat seumpama itu disediakan.
“Antara perkhidmatan lain yang disediakan YKN adalah 10 Anjung Kasih iaitu penginapan sementara bagi keluarga yang mengiringi pesakit yang mendapat rawatan di hospital dan enam pusat rawatan dialisis (YKN Dialisis) yang berkonsepkan mesra keluarga.
“Sehingga Januari lalu juga sejumlah 62,551 individu mendapat manfaat dari penubuhan Anjung Kasih di seluruh negara dan sebanyak 2,315 individu berdaftar dengan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur sejak ia dibuka pada 10 Februari 2016,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Tajaan dan Tandatangan Memorandum rakan strategik yang menjalin kerjasama dengan YKN.
Sebanyak 12 rakan strategik YKN, termasuk syarikat berkaitan kerajaan, syarikat korporat, institusi kewangan dan badan bukan kerajaan (NGO) menjalin kerjasama dengan yayasan itu untuk melaksanakan projek yang memberi perkhidmatan secara terus kepada masyarakat.
Dr Wan Azizah berkata, sebagai sebuah badan kebajikan, YKN tidak dapat bergerak bersendirian dan ia memerlukan kerjasama rakan strategik untuk membantu melaksanakan inisiatif bagi memperkasakan kumpulan sasar melalui pelbagai sudut dengan lebih berkesan.
“Projek pembangunan YKN seperti Anjung Kasih dan Anjung Singgah ini adalah antara ruang terbaik bagi syarikat korporat, NGO serta rakan strategik untuk sama-sama menyumbang kepada kumpulan sasar,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, YKN juga dalam perancangan untuk menubuhkan pusat sehenti gabungan komponen sosial seperti Anjung Kasih, Anjung Singgah dan Food Bank yang bercirikan elemen kebajikan di tapak tanah kebajikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mana ia adalah kesinambungan daripada projek kerjasama YKN Dialisis dengan universiti.
“Projek usaha sama antara YKN dan UMS ini adalah projek yang pertama di wujudkan di Malaysia, sesuai dengan keperluan masyarakat Sabah.
“Selain itu, pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pula akan bekerjasama dengan YKN dalam penubuhan Anjung Kasih di universiti berkenaan dengan peruntukan pembangunan dikongsi bersama antara pihak UniSZA dan YKN,” katanya. - Berita Harian
Post a Comment