Pengguna PLUS dinasihat ikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan


PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi pelanggan lebuh raya yang melakukan perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan bermula hari ini hingga 29 Oktober.

TTA adalah satu langkah untuk mengurangkan dan menguruskan kesesakan di lebuh raya, kawasan rehat dan rawat serta plaza tol pada musim perayaan Deepavali.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, berkata berdasarkan TTA yang dikeluarkan, pelanggan dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.

“Manakala, pelanggan yang menuju ke lain-lain destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 3 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jadual TTA sempena perayaan Deepavali juga boleh didapati menerusi aplikasi PLUS Mobile App yang boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store atau App Store.

Pelanggan juga boleh merujuk jadual TTA di laman web PLUS di www.plus.com.my dan dinasihati supaya mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya menerusi Twitter PLUSTrafik, papan tanda elektronik lebuh raya atau menghubungi talian PLUSLine di 1800 88 0000 atau merujuk aplikasi Waze atau Google Map untuk merancang perjalanan ke destinasi masing-masing. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.