Semua universiti awam wajib laksana dasar inklusif OKU bermula sesi 2019/2020 - Dr Maszlee


Kesemua 20 universiti awam di seluruh negara wajib melaksanakan Dasar Inklusif Orang Kelainan Upaya (OKU) dan menubuhkan Unit Perkhidmatan OKU bermula sesi kemasukan pelajar 2019/2020, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Menerusi garis panduan yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Dasar Inklusif OKU itu dilaksanakan bertujuan menghapuskan pengasingan pelajar OKU daripada pelajar lain, katanya.

"Ia juga dapat memastikan kemudahan dan sistem sokongan pendidikan berterusan diberikan kepada pelajar OKU yang berjaya mendapat tempat di universiti awam dan swasta.

“Bagaimanapun, universiti swasta digalak untuk melaksanakan garis panduan yang sama dalam memberi ruang dan peluang kepada pelajar OKU mendapat hak pendidikan sama rata dengan pelajar lain,” katanya ketika berucap pada Majlis pelancaran Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif Orang Kelainan Upaya di Institusi Pendidikan Tinggi di UIAM, hari ini.

Setakat ini beberapa universiti awam dan swasta telah menggubal dan mula melaksanakan Dasar Inklusif OKU antaranya Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan Universiti Sains Malaysia bagi universiti awam, serta Universiti Nottingham bagi universiti swasta.

"Universiti berkenaan juga telah menubuhkan Unit Perkhidmatan OKU yang memberi khidmat sokongan khusus kepada pelajar dan kakitangan OKU di institusi berkenaan.

Pihaknya menjangkakan tempoh untuk pelaksanaan dasar itu adalah sehingga 2025 untuk semua universiti awam.

Sementara itu, berhubung pelantikan Prof Dr Siti Zainon Ismail sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 yang diibaratkan oleh seorang lagi sasterawan sebagai 'samun siang hari', Maszlee berkata pelantikan Prof Dr Siti Zainon adalah berdasarkan merit dan pencapaian yang turut diakui oleh para aktivis sasterawan.

"Keputusan itu telah diiktiraf oleh sasterawan lain kerana (Prof Dr) Siti Zainon adalah calon yang paling layak dan ada yang mengatakan bahawa sepatutnya beliau telah dapat pengiktirafan ini sejak lama dari ini.

Bagi sesiapa yang mengenali beliau, beliau bukan sekadar seorang sasterawan, beliau juga budayawan dan pelukis terkenal yang telah banyak berjasa kepada negara," katanya.

Semalam, Tokoh Sasterawan Perak Dr Malim Ghozali dipetik laporan media mendakwa pencalonan itu telah dicemari dengan campur tangan politik dimanupulasi dan diseleweng oleh mereka yang tiada kepakaran dalam menjadi juri.

Dr Malim turut mendakwa keputusan pemilihan penerima anugerah itu telah dibuat 'sebulat suara' jauh lebih awal iaitu kira-kira enam bulan lepas iaitu pada 28 Mac.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.