3.8 juta B40 layak terima MySalam


Seramai 3.8 juta golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dijangkakan layak menjadi penerima Skim Perlindungan Nasional B40 (MySalam).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah, berkata penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) di seluruh negara yang berumur antara 18 hingga 55 tahun dan pasangannya layak mendapat skim MySalam.

“Skim ini berkuat kuasa 1 Januari lalu dan penerima yang layak boleh membuat tuntutan takaful mulai 1 Mac 2019 menerusi portal MySalam.

“MySalam bertujuan mengurangkan bebanan golongan isi rumah B40 yang mudah terjejas akibat kejutan kewangan sekiranya mereka terpaksa dimasukkan ke hospital atau menghidapi penyakit kritikal luar jangka.

“Kita dapati golongan isi rumah B40 lebih terdedah kepada kejutan kewangan dan kehilangan pendapatan sewaktu menerima rawatan, terutama mereka yang bekerja sendiri atau dibayar gaji harian,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) mengenai jumlah penyertaan golongan B40 dalam MySalam dan sama ada skim berkenaan akan diperluaskan ke seluruh negara.

Amiruddin menjelaskan skim berkenaan bukan perlindungan takaful kesihatan dan perubatan yang lazimnya disediakan pengendali takaful berlesen.

“Wang tuntutan skim ini akan dibayar terus kepada penerima dan bukan hospital atau klinik perubatan.

“Sebanyak 1,094 tuntutan diterima menerusi portal MySalam sehingga 4 April lalu. Proses tuntutan boleh pengendali takaful skim ini lazimnya diselesaikan dalam jangka dua minggu.

“Sejumlah RM40,200 yang membabitkan 97 tuntutan sudah dibayar. Perangkaan ini merangkumi 95 tuntutan untuk kemasukan hospital dan dua tuntutan bagi penyakit kritikal,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli) berhubung cadangan mengekalkan penyaluran bantuan menerusi MySalam, Amiruddin berkata, kerajaan ketika ini memutuskan skim berkenaan akan diteruskan untuk tempoh lima tahun.

Katanya, tempoh lima tahun bagi fasa pertama skim itu akan berfungsi sebagai perintis dan kerajaan akan menilai sama ada mekanisme MySalam berupaya meringankan bebanan golongan B40.

“MySalam menyediakan bantuan RM8,000 yang disalurkan secara pembayaran sekali gus sekiranya mereka disahkan menghidap mana-mana satu daripada 36 penyakit kritikal seperti kanser dan jantung.

“Skim ini juga memberikan bayaran penggantian pendapatan RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari atau RM700 setiap tahun kepada mereka yang menerima rawatan di hospital kerajaan,” katanya. - Berita Harian
Powered by Blogger.