"Wira Laut" selamatkan penyu


Beberapa nelayan tempatan dianggap wira di laut susulan tindakan mereka menyelamatkan seekor penyu yang tersangkut pada tali, hingga menyebabkannya sukar berenang.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Mohd Uzair Rusli berkata walaupun tidak dapat dipastikan lokasi kejadian itu namun berdasarkan video tular di laman sosial Facebook, penyu yang diselamatkan merupakan spesis Penyu Lipas atau nama saintifiknya Lepidochelys Olivacea.

Katanya nelayan kerap dipersalahkan apabila terdapat isu pukat mahupun tali terdampar di lautan namun masih ramai daripada mereka adalah masyarakat yang prihatin dan peka dengan pemuliharaan alam sekitar dan hidupan laut.

“Kita kerap mendapat laporan mereka (nelayan) menyelamatkan penyu. Begitu juga golongan pemancing-pemancing rekreasi yang mempunyai kesedaran yang tinggi.

“Dalam isu pencemaran di lautan, semua kita adalah bertanggungjawab kerana setiap apa yang kita buang di darat akan pasti sampai ke laut juga,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Uzair yang juga Ketua Unit Penyelidikan Penyu Laut (Seatru) berkata penyu lipas merupakan spesis yang terkecil iaitu penyu dewasa mempunyai berat dalam lingkungan 30 hingga 50 kilogram (kg) jika dibandingkan dengan empat spesis penyu yang lain.

Kebiasaannya berat seekor penyu ialah 150 kg (jika penyu Agar) dan di negara ini terdapat spesis Belimbing, Agar, Karah dan Lipas.

Katanya berdasarkan video itu juga penyu tersebut kelihatan seperti penyu dewasa betina.

“Penyu tersangkut dengan sisa pukat atau tali memungkinkan penyu dewasa ini tidak mampu untuk naik bertelur.

“Dua pantai utama yang menjadi pendaratan penyu ini di Pulau Pinang adalah Pantai Kerachut dan Teluk Kampi (di dalam kawasan dan seliaan Taman Negara Pulau Pinang).

Menerusi video berdurasi 6:35 saat tersebut seorang nelayan bertindak memotong tali yang menyekat pergerakan penyu terbabit serta gigih ‘memandikan’ supaya lebih ‘laju’ berenang. -- BERNAMA

Powered by Blogger.