Pos Malaysia usaha cari pilihan terbaik


Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) sedang bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkaitan dalam usaha membantu orang awam dan juga sektor perniagaan yang dijangka menerima kesan hebat susulan kemungkinan berlaku lonjakkan besar dalam kadar pos, dan ketidakstabilan dalam sistem pos global sekiranya Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat (USPS) menarik diri dari Kesatuan Pos Sedunia (UPU).

Pos Malaysia dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata pertimbangan untuk mengenepikan peraturan mungkin menjadi salah satu pilihan bagi mengurangkan kemungkinan kenaikan kadar caj pos yang besar di seluruh dunia susulan “Postal Exit” USPS itu.

“Walaupun ada kemungkinan kadar caj yang dipersetujui mungkin akan perlu disemak semula, namun keutamaan kami adalah untuk memastikan bahawa kami terus menyediakan perkhidmatan pos pada kadar caj yang mampu dibayar semua pengguna.

Pos Malaysia juga memberikan jaminan bahawa ia tidak akan melencong dari agenda transformasinya semasa ia terus menangani cabaran dan meminimumkan kesan kepada pengguna dan perniagaan Malaysia.

“Jaminan ini dibina atas rangkaian kerja Pos Malaysia yang besar yang tiada tandingannya dan peluang untuk mengembangkan perniagaan digital baharu buat pelanggannya,” menurut kenyataan itu.

Post Malaysia berkata walaupun pendirian Malaysia adalah untuk mengekalkan status quo, dan kajian cadangan-cadangan baru yang lebih matang perlu dilaksanakan dan dikemukakan di Kongres UPU Abidjan 2020 akan datang; ada kemungkinan pilihan baharu yang diusulkan oleh USPS akan menjadi dipilih di Kongres UPU di Geneva, Switzerland.

"Proses pemilihan sedang berlangsung ketika ini, dan Pos Malaysia akan mengemaskini hasilnya kepada semua pihak terbabit dari semasa ke semasa,” katanya.

Ancaman kemungkinan USPS meninggalkan UPU pada 17 Okt mulai timbul di Kongres UPU di Geneva dan ia dilihat sebagai hasil pertembungan Presiden Amerika Donald Trump dengan China dalam perang perdagangan antara dua negara itu.

Media melaporkan kadar pos dan penghantaran barang menerusi perkhidmatan itu mungkin akan menerima kesan apabila Amerika menimbangkan untuk menamatkan pembabitan negara itu selama 144 tahun dalam badan antarabangsa yang mentadbir urusan pertukaran surat dan penghantaran barang menerusi pos.

Tiga cadangan dibentangkan di kongres itu dengan semua pilihan memberi kesan peningkatan kos yang tinggi kepada pengendali pos di seluruh duinia.

Sementara itu Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dilaporkan berkata pihak kementerian sedang menunggu keputusan Kongres UPU bagi membincangkan masa depan sistem pembayaran UPU untuki kemasukan surat-surat antarabangsa dan barang yang dipos.

Katanya beliau tidak akan membuat sebarang komen selanjutnya berhubung perkara berkenaan memandangkan Kongres tiga hari itu hanya akan berakhir Khamis ini.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.