Osman Sapian letak jawatan MB Johor - Dr Mahathir


Datuk Osman Sapian sudah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor semalam, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Osman, Anggota Dewan Undangan Negeri Kempas, menyerahkan dua surat peletakan jawatan itu kepadanya dalam satu pertemuan di Putrajaya semalam, dengan satu daripadanya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

“Buat sementara waktu, Johor tiada Menteri Besar,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dr Mahathir berkata surat kepada Sultan Johor, hanya akan diserahkan sebaik baginda pulang ke tanah air.

Ditanya mengenai cadangan Menteri Besar yang baharu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata perkara itu belum ditentukan tetapi mengikut perjanjian dalam PH, Menteri Besar Johor hendaklah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Ada tiga empat nama calon ganti bekas MB Johor,” katanya.

Ditanya sama ada Osman berundur bagi mengambil tanggungjawab terhadap isu antara kerajaan Johor dan Singapura, beliau menjawab; “ “Kita belum menyatakan kenapa beliau berundur tetapi beliau sudahpun berundur. Tiada sebab diberi kenapa beliau berundur, “ tambah beliau.

Ditanya mengenai cadangan Pemuda UMNO supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat salah laku Lembaga Tabung Haji (TH), Dr Mahathir berkata kerajaan masih lagi cuba menyelesaikan masalah dalam agensi tersebut sebelum boleh memberikan penjelasan sepenuhnya.

“Kita belum selesai (teliti) masalah Tabung Haji ini. Kita akan bentangkan penjelasan berkenaan masalah dalam TH. Di waktu ini kita tahu ada masalah tetapi secara terperinci kita belum dapat maklumat. Kita perlu tahu secara terperinci apa yang berlaku dalam TH,” katanya.

Jumaat lepas, TH mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus yang melibatkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendepositnya bagi tahun kewangan 2018.

Menjawab soalan mengenai status Lebuh Raya Pan Borneo terutama dalam bahagian Sabah Dr Mahathir menjawab: “Ini membabitkan banyak yang wang. Berhati-hati terhadap wang yang dibelanjakan,” katanya.

Pada Mac 26, Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata belum ada keputusan diambil bagi menggantikan Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo dengan kontraktor mengikut model turnkey.

Beliau berkata cadangan yang dikemukakan kepada kabinet ialah bagi menggantikan model PDP kepada model yang lain bagi meneruskan lebihan projek mega itu. - BERNAMA

Powered by Blogger.