Wanita tidak sedar dieksploitasi hingga muflis
Mudah bersimpati antara faktor wanita mudah dieksploitasi dengan menggunakan nama atau menjadi penjamin atas urusan pembiayaan dengan institusi perbankan hingga berlaku penganiayaan kewangan tanpa mereka sedari.
Felo Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Suzana Muhamad Said, berkata tindakan membenarkan individu menggunakan nama atas tujuan itu menyebabkan berlaku pelbagai kesulitan kemudian hari.
Beliau berkata, keadaan sama membabitkan pasangan suami isteri, ahli keluarga dan penjaga yang mana tindakan sedemikian dilihat sebagai mengeksploitasi atau mensabotaj.
Katanya, penganiayaan kewangan termasuk menyekat dan mengawal sumber kewangan membabitkan pekerjaan mengeksploitasi atau dengan sengaja menyebabkan seseorang menanggung hutang turut ditakrifkan sebagai penganiayaan kewangan.
“Kesannya timbul risiko perundangan termasuklah individu diisytiharkan bankrap, harta dilelong atau dirampas, malah nama peminjam atau penjamin disenaraihitamkan.
“Namun ramai tidak sedar menjadi mangsa penganiayaan berkenaan,” katanya ketika menjadi panel bengkel Amalan Pengurusan Kewangan Berhemat Sebagai Budaya Hidup di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), baru-baru ini.
Hadir sama Ketua Pengarah IKIM, Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin dan Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohamad Khalil Jamaludin.
Pada masa sama juga, Suzana berkata, penganiayaan sama berlaku disebabkan keengganan suami memberi nafkah kepada isteri atau anak selain tidak menyumbang perbelanjaan rumah.
Kes yang sering dirujuk kata beliau, antaranya menggunakan nama bagi tujuan pinjaman atau pembiayaan sama ada penama mengetahui atau sebaliknya.
“Kes lain termasuk menjadi penjamin korporat atau perniagaan pasangan dan menggunakan harta sebagai cagaran pinjaman,” katanya.
Suzana menyarankan orang ramai khususnya wanita sentiasa menyemak dan mengambil tahu status kewangan, termasuk apa yang berlaku dengan duit dan harta benda.
“Jangan beri peluang untuk diri ditindas, dianiaya, dipaksa dan diambil kesempatan membuat keputusan dalam hal ehwal kewangan,” katanya.
Beliau berkata, Dr Suzana berkata, implikasi muflis mengikut Seksyen 38, Akta Insolvensi 1967, menyaksikan mereka hilang kelayakan, antaranya tidak dibenarkan ke keluar negara, tidak boleh menjadi pengarah atau terbabit dalam pengurusan syarikat.
Kesulitan lain termasuk individu muflis tidak boleh menjalankan perniagaan tunggal atau perkongsian, membuat pinjaman dan bekerja dengan suami, isteri, adik-beradik mahupun saudara-mara.
“Kesan lebih buruk harta seperti rumah, kereta, tanah, saham, wang dalam akaun bank, insurans, barang kemas dan perabot disita, diletakkan haknya kepada Ketua Pengarah Insolvensi berdasarkan Seksyen 24(4) akta sama,” katanya.
Jabatan Insolvensi Malaysia menyenaraikan antara sebab bankrap membabitkan rakyat Malaysia iaitu:
• Sewa beli kenderaan
• Pinjaman sosial
• Pinjaman perumahan
• Biasiswa pelajaran
• Penjamin korporat
• Pinjaman peribadi
• Hutang kad kredit
• Pinjaman perniagaan
• Hutang cukai pendapatan
FAKTA NOMBOR
• 92,982 orang - Individu bankrap sehingga Oktober 2018
• 23,998 orang - Membabitkan kes di Selangor
• 11,544 orang - Kes di Wilayah Persekutuan
• 10,604 - Kes di Johor Bahru termasuk 2,511 di Muar
Sumber: Berita Harian
Post a Comment