Peruntukan tambahan RM10 juta bayar elaun praktikal di agensi kerajaan


Jemaah Menteri pada Rabu lalu memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM10 juta bagi bayaran elaun kepada pelajar universiti yang menjalani latihan praktikal di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata ia bagi membolehkan sektor awam terus memberikan latihan praktikal kepada pelatih, selain menjaga kebajikan mereka.

“Kerajaan memandang serius mengenai latihan berkualiti dan menepati kehendak pasaran kerja terus diberi kepada anak muda sebagai bakal pelapis pemimpin negara.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus memperjuangkan peluang anak muda mendapat latihan sewajarnya dan secukupnya bagi mewarisi kepimpinan negara ini pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada 15 Ogos lalu, Syed Saddiq mengumumkan kadar elaun bagi pelajar universiti yang menjalani latihan praktikal di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan akan dinaikkan daripada RM300 sebulan kepada kira-kira RM900 sebulan.

Perkara itu diputuskan kerajaan PADA mesyuarat jawatankuasa khas Kabinet anak muda dan peningkatan kadar elaun lebih tiga kali ganda itu akan mula berkuat kuasa pada 1 September lalu.

Pelatih yang tidak menerima bayaran ketika menjalani latihan praktikal di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan pada kadar baharu boleh membuat laporan kepada KBS.

Dengan kadar elaun RM900 sebulan, pelajar universiti yang menjalani latihan praktikal di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan bukan lagi sekadar `budak kopi dan tukang fotokopi’, sebaliknya perlu diberikan kerja bersesuaian setimpal dengan bayaran diterima mereka.
Powered by Blogger.