Pelabur asing terus tertarik dengan Malaysia - Lim


Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan menarik memandangkan jumlah stok pelaburan langsung asing (FDI) meningkat sebanyak 10.3 peratus kepada RM667.5 bilion pada suku kedua 2019 berbanding dengan RM605.1 bilion yang direkodkan pada tahun sebelum ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata peningkatan berterusan dalam jumlah stok FDI mencerminkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa walaupun di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang sedang memuncak di seluruh dunia.

"Pertumbuhan ekonomi yang mampan adalah salah satu daripada sebab-sebab di sebalik peningkatan stok FDI," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) bagi suku tahun berkembang sebanyak 4.9 peratus dari tahun ke tahun berbanding hanya 4.5 peratus pada suku pertama 2019, sedangkan ekonomi serantau yang lain sedang mencatatkan kelembapan ekonomi secara serentak.

Menurut beliau lagi, pertumbuhan suku tahunan KDNK sebanyak 4.9 peratus adalah lebih baik daripada jangkaan pasaran sebanyak 4.7 peratus seperti menurut rangkuman yang dibuat Bloomberg.

Kedudukan Pelaburan Antarabangsa dan Imbangan Pembayaran mentakrifkan FDI sebagai pelaburan berjangka panjang yang dibuat oleh pihak asing dalam syarikat-syarikat tempatan yang memberikan mereka kepentingkan kawalan yang berkekalan dan ini sejajar dengan definisi yang diberikan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Pada minggu lepas, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumumkan bahawa FDI yang diluluskan di semua sektor meningkat sebanyak 97.2 peratus kepada RM49.5 bilion dalam separuh pertama 2019 daripada hanya RM25.1 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Secara khusus, FDI dalam pembuatan yang diluluskan telah menokok sebanyak 74.2 peratus kepada RM33.1 bilion dalam separuh pertama 2019, daripada RM19.0 bilion, kata Lim.

Daripada RM33.1 bilion, sejumlah RM11.7 bilion datang daripada Amerika Syarikat, menjadikan negara berkenaan sebagai penyumbang FDI pembuatan yang terbesar yang diluluskan dalam tempoh itu, diikuti oleh China (RM4.8 bilion), Singapura (RM3.1 bilion) dan Jepun (RM2.1 bilion).

Katanya lagi, MIDA menyatakan bahawa FDI pembuatan bernilai RM33.1 bilion yang diluluskan itu akan mewujudkan 30,449 pekerjaan dalam masa terdekat.

"Kerajaan akan mengekalkan pendekatan mesra perniagaan untuk menarik pelaburan ke negara ini dan mewujudkan pekerjaan yang berkualiti bagi semua rakyat Malaysia," katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.