KPLB rancang 230 projek baharu, 523 projek sambungan tahun depan


Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memohon peruntukan RM4.037 bilion bagi projek pembangunan untuk tahun 2020, meliputi 230 projek baharu dan 523 projek sambungan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata KPLB juga telah diberikan siling indikatif perbelanjaan mengurus bagi tahun 2020 sebanyak RM3.034 bilion. 

“Besarlah harapan kita agar permohonan ini diluluskan. Untuk itu, saya akan bertemu Menteri Kewangan pada awal September bagi membincang keperluan kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan projek luar bandar,” katanya pada Program Penghayatan Bulan Kemerdekaan KPLB 2019 di sini, hari ini.

Rina berkata, sehingga 4 Ogos 2019, perbelanjaan mengurus KPLB berada pada tahap 55.32 peratus atau RM1.655 bilion, berbanding peruntukan sebanyak RM2.992 bilion.

Katanya, baki sebanyak RM1.336 bilion atau 44.68 peratus diharap dapat dibelanjakan sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.

“Perbelanjaan pembangunan KPLB pula adalah RM2.287 bilion atau 42.19 peratus iaitu di bawah peratus purata perbelanjaan pembangunan nasional sebanyak 50.11 peratus yang mana KPLB berada pada kedudukan ke-15.

“Oleh itu, saya berharap semua pegawai yang terbabit dengan projek yang telah dirancang dapat dilaksanakan segera. Pastikan peruntukan yang ditetapkan dibelanjakan sewajarnya.

“Kelewatan pelaksanaan sesuatu projek akan memberi imej negatif kepada kerajaan dan rakyat khususnya masyarakat luar bandar tidak mendapat manfaatnya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pegawai KPLB perlu merancang dengan penuh teliti projek yang akan dilaksanakan pada 2020.

“Rancanglah dengan awal terutama projek yang membabitkan pengambilan tanah dan projek yang memerlukan kerjasama dengan pihak lain seperti kerajaan negeri serta dan Jabatan Kerja Raya,” katanya.

Sementara itu, Rina turut melahirkan rasa bangga apabila hasil jualan dan tempahan diterima 15 usahawan bimbingan KLPB pada ekspo Malaysia Fest 2019 di Singapura baru-baru ini, mencecah RM3.3 juta.

“Pencapaian memberangsangkan oleh usahawan luar bandar dalam ekspo ini memberi keyakinan kepada saya untuk terus menjadikan program ‘Rural to Global’ sebagai medium kepada usahawan luar bandar untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Powered by Blogger.