Pencuri diikat ke palang besi
Seorang lelaki ditahan ketika cuba melarikan kereta Proton Wira diparkir di sebuah pasar raya di Lembah Sireh, Kota Bharu, semalam.
Lelaki berusia 36 tahun ditahan jam 4.20 petang orang awam sebelum diserahkan kepada polis.
Sebuah video berdurasi tiga minit satu saat tular sejak malam tadi memaparkan kedua-dua kaki dan tangan lelaki itu diikat pada palang besi dari bahagian belakang oleh orang ramai.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kejadian itu disedari pengawal keselamatan yang sedang membuat rondaan di parkir dan mendapati seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, lelaki itu kemudian menuju ke sebuah kereta dan masuk menerusi but kereta sebelum menghidupkan enjin kenderaan itu.
“Curiga dengan perbuatan lelaki itu, pengawal keselamatan menghubungi polis dan pada masa sama dia bersama rakan sekerja cuba menahan lelaki terbabit sebelum berlaku pergelutan.
“Mereka meminta pertolongan orang ramai sebelum kehadiran polis lalu menahan lelaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, ketika kejadian pemilik kereta yang juga penuntut sebuah kolej berusia 23 tahun meletakkan keretanya di parkir itu pada jam 12.30 tengah hari dan pulang ke rumah sewa.
Katanya, kereta ditinggalkan dalam keadaan berkunci dan pemilik menerima panggilan daripada rakannya memaklumkan kenderaan itu cuba dicuri seorang lelaki.
“Pemilik kereta kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamine dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A/511 Kanun Keseksaan.
“Polis turut menemui ‘allen key’ yang sudah diubahsuai untuk membuka kenderaan,” katanya.
Menurutnya, suspek memiliki 31 rekod kesalahan lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.
Abdul Rahim menasihatkan orang ramai supaya menggunakan kunci tambahan apabila meninggalkan kereta masing-masing terutama model lama yang menjadi sasaran penjenayah. - HARIAN METRO
Post a Comment