Jerebu: Pembenihan awan berjaya hasilkan hujan
Operasi pembenihan awan (OPA) di sekitar Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan hari ini berjaya menghasilkan hujan.
Operasi bagi menangani keadaan berjerebu yang semakin teruk itu dilakukan menggunakan pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara (PU) Subang.
Pesawat berkenaan dilihat membawa empat tangki besar dengan setiap daripadanya diisi kira-kira 1,200 liter air dicampur 200 kilogram (kg) garam.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jailan Simon, berkata operasi dilaksanakan selama dua jam setengah bermula jam 12.30 tengah hari.
“Operasi ini lebih tertumpu di kawasan seperti Klang dan Putrajaya yang masih mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi.
“Sebelum operasi itu, kita lihat OPA berada pada tahap 50:50 selepas melihat kepada keadaan angin, atmosfera dan awan. Bagaimanapun, sukacita dimaklumkan bahawa OPA hari ini berjaya membuahkan hasil.
“Hujan dilaporkan di Cheras, Bangsar, Petaling, Kuala Selangor, Hulu Langat, Klang, Gombak, Seremban, Tampin, Jelebu, Alor Gajah dan Jasin walaupun tidak menyeluruh seperti dijangka.
“Kalau ikut jadual, kita akan turut menjalankan OPA esok (hari ini) namun bergantung kepada keperluan, lokasinya mengikut kepada kawasan yang masih mencatatkan IPU melebihi 200 iaitu tahap sangat tidak sihat,” katanya ketika ditemui pemberita di PU Subang di sini, hari ini.
OPA itu turut mendapat kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Mengulas lanjut, katanya, MetMalaysia sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia bagi menangani masalah jerebu selepas asap daripada kebakaran hutan di negara republik itu dipercayai sampai ke Malaysia.
“Kita saling bertukar maklumat dan memberi perkembangan dari semasa ke semasa. Dalam hal ini juga, MetMalaysia turut mendapatkan pandangan Jabatan Alam Sekitar di negara ini bagi memastikan isu jerebu dapat ditangani secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, lebih 10 pengamal media turut mendapat peluang menaiki pesawat berkenaan bagi melihat secara lebih dekat proses pembenihan awan terbabit. - BERITA HARIAN
Post a Comment