Mohamed Azmin mengadap Putera Mahkota Abu Dhabi


Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadap Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, sempena lawatan kerjanya ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Mohamed Azmin mengetuai delegasi Malaysia pada Meja Bulat Peringkat Menteri Mengenai Tenaga Asia ke-8 (AMER8) dan Kongres Tenaga Dunia ke-24 (WEC24) di UAE.

“Penghargaan tertinggi kepada Yang Mulia Sheikh @MohamedBinZayed, Putera Mahkota Abu Dhabi yang juga Timbalan Komandan Tertinggi Angkatan Bersenjata UAE, untuk membincangkan langkah-langkah meningkatkan hubungan ekonomi di antara Malaysia dan UAE.

“Perbincangan yang produktif dengan Sheikh @MohamedBinZayed Al Nahyan mengenai kerjasama strategik Khazanah Nasional Berhad dan Mubadala Investment Company mengenai infrastruktur dan industri strategik untuk mewujudkan kemakmuran dan manfaat kedua-dua negara,” katanya dalam mesej Twitter.

Mohamed Azmin juga berkata beliau turut membincangkan mengenai pembentukan Jawatankuasa Pelaburan Bersama (JIC) untuk meningkatkan pelaburan antara kedua-dua negara yang akan diketuai bersama oleh menteri dari Malaysia dan UAE.

“JIC akan membuka potensi sepenuhnya kerjasama ekonomi antara Malaysia dan UAE dalam pelbagai sektor termasuk tenaga, minyak dan gas, infrastruktur dan pelancongan.

“UAE adalah rakan dagang terbesar di Asia Barat dan kami gembira dengan potensi yang akan wujud melalui persetujuan bersama melalui JIC,” katanya.

Beliau turut menyampaikan jemputan Perdana Menteri kepada Sheikh Mohamed Zayed untuk menyertai dan mengambil bahagian secara aktif pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur.

Delegasi Malaysia akan mengambil bahagian dalam semua sesi di AMER8 dan WEC24 dengan bertukar dan berkongsi pandangan, idea dan perspektif baharu mengenai teknologi baharu dan penyelesaian secara inovatif dalam menangani isu trilemma bagi jaminan tenaga, kelestarian dan kemampuan, dengan perwakilan dari 62 negara.

Pertemuan itu adalah susulan lawatan khas Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada Jun lalu, yang telah membuka jalan bagi kerjasama ekonomi yang lebih baik dengan UAE, antara rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Barat.

-- BERITA HARIAN
Powered by Blogger.