Kerajaan belum bincang skim pencen


Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan belum berbincang dan membuat sebarang keputusan berhubung skim baharu bagi menggantikan Skim Pencen Perkhidmatan Awam yang dijangka dilaksana tahun hadapan.

Perdana Menteri berkata, bagaimanapun pihaknya menyedari terdapat masalah pada skim sedia ada kerana kerajaan perlu mengeluarkan kos yang tinggi bagi pembayaran pencen ketika ini.

“Pencen sekarang menjadi masalah kerana ada pegawai kanan ketika ini mendapat gaji besar sehingga RM20,000 sebulan dan mereka akan mendapat pencen separuh daripada gaji terakhir itu.

“Dahulu gaji pegawai kanan tidak lebih RM6,000 atau RM7,000 sebulan dan mereka dapat pencen kira-kira RM3,000 sebulan, tetapi kita faham kos hidup juga meningkat jadi kita kena kaji skim pencen sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dolah dipetik berkata, mekanisme baharu menggantikan Skim Pencen Perkhidmatan Awam dijangka dilaksanakan tahun depan membabitkan lantikan baharu dalam sektor itu.

Inisiatif yang disasar dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan sehingga RM5 bilion setahun itu bagaimanapun masih perlu diperhalusi dan bergantung kepada keputusan muktamad kerajaan. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.