Syed Saddiq cadang mahu perkenalkan perkhidmatan gojek


Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berhasrat mahu memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai ojek.

Menerusi kaji selidik yang dimuat naik menerusi akaun Twitter miliknya, Syed Saddiq berkata beliau mahukan suara anak muda sama ada mereka bersetuju dengan perkhidmatan ojek untuk diperkenalkan di negara ini.

Katanya, perkara itu bagi membantu golongan anak muda yang mempunyai motosikal untuk membuat perniagaan kecil menggunakan mod kenderaan itu.

“Anak muda Malaysia, saya perlukan suara anda untuk membantu golongan mat motor, adakah anda bersetuju dengan ekonomi gojek (kenderaan motosikal untuk perkhidmatan penghantaran penumpang, makanan atau perniagaan kecil)?

“Di Thailand dan Singapura, kurang setahun, ratusan ribu peluang pekerjaan baru tercipta,” katanya.

Gojek adalah syarikat rangkaian pengangkutan dan permulaan logistik yang berpusat di Jakarta, Indonesia. Perkhidmatannya boleh digunakan menggunakan aplikasi yang dibangunkan.

Kaji selidik atas talian itu mendapat pelbagai reaksi netizen dan 90 peratus bersetuju perkhidmatan berkenaan diperkenalkan dan tidak kurang juga ada yang tidak bersetuju atas faktor keselamatan.

Pengguna Twitter, @Xaviernaxa, berkata beliau bersetuju dengan cadangan itu namun sebaiknya ia dikendalikan oleh syarikat tempatan.

“Sangat setuju, tetapi kalau boleh perkhidmatan ini harus dikendalikan oleh syarikat tempatan dengan memfokuskan pemindahan ilmu dari syarikat besar yang sudah berjaya membawa industri ini ke tahap yang membanggakan,” katanya.

Ciapan itu mendapat maklum balas Syed Saddiq dan beliau menerima pendapat berkenaan sambil menegaskan kepada netizen lain bahawa perkhidmatan itu belum ada di negara ini lagi.

“Cadangan yang sangat baik. Terima kasih.

“Belum ada. 2-w transport untuk final mile, tidak dibenarkan. Makanan boleh. Tetapi ekosistem ojek lagi besar (logistics/ SMEs/ microfinancing/people/transport/massage/beautician),” katanya.

Sementara itu ada juga yang mencadangkan bagaimana pelaksanaannya perlu dilakukan dengan mengambil kira kebaikan dan keburukan ojek.

Pengguna Twitter,@adaswad, berkata sekiranya kerajaan mampu bersikap tegas dengan mengenakan undang-undang yang tegas ia mampu dilaksanakan dengan baik.

“Penunggang motosikal itu perlu mempunyai sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman, ini bagi mengelakkan penunggang yang kurang pengalaman terbabit dalam kemalangan.

“Bagi membonceng wanita, beri pilihan kepada mereka untuk memilih penunggang motosikal wanita bagi isu muhrim. Wujudkan pakaian seragam,” katanya.

Selain itu, ada pengguna Twitter yang peka turut membangkitkan syarikat DegoRide pernah mewujudkan perkhidmatan sedemikian namun ia kemudian diharamkan.

“Sebelum ini pernah ada DegoRide, ia satu platform yang bagus, namun kemudian diharamkan.

“Sekiranya mahu menubuhkan (ojek) di Malaysia, saya bersetuju. Jika negara besar seperti Indonesia mampu melaksanakannya mengapa kita tidak boleh?” katanya.

Sebelum ini, bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan membanteras perkhidmatan teksi motosikal atas alasan ia mengundang risiko kemalangan lebih tinggi.

Kemudian disokong Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, yang turut dilaporkan tidak mempunyai perancangan memperkenalkan perkhidmatan menunggang motosikal di negara ini. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.