Lesen operasi Lynas diperbaharui 6 bulan


Lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd diperbaharui selama enam bulan, kata Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) hari ini.

Sebelum ini, lesen operasi Lynas dilanjutkan selama tiga tahun pada 2016 hingga 2 September tahun ini.

Pembaharuan lesen Lynas, yang beroperasi di Gebeng Kuantan itu, kali ini disertakan dengan beberapa syarat utama.

LPTA dalam kenyataan memaklumkan antara syarat yang dikenakan terhadap kilang nadir bumi itu ialah pemindahan proses ‘Cracking and Leaching’ ke luar negara dan pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF).

“Lynas hendaklah mengemukakan perancangan bagi pembinaan kemudahan ‘Cracking and Leaching’ di luar negara bagi tujuan memindahkan proses itu yang kini dijalankan di lojinya di Gebeng, keluar dari Malaysia,” jelas LPTA.

LPTA berkata, kemudahan ‘Cracking and Leaching’ di luar negara itu hendaklah dibina dan mula beroperasi dalam tempoh empat tahun dari tarikh sah lesen.

“Selepas kemudahan ‘Cracking and Leaching’ mula beroperasi di luar negara, pemegang lesen tidak lagi dibenarkan menghasilkan residu radioaktif yang melebihi satu ‘Becquerel’ segram di lojinya di Gebeng,” kata LPTA.

Lynas juga perlu mengenal pasti tapak khusus untuk pembinaan PDF dan mengemukakan kebenaran secara bertulis daripada kerajaan negeri bagi penggunaan tapak itu sebagai PDF.

“Pemegang lesen juga hendaklah mengemukakan pelan perancangan pembinaan PDF yang lengkap serta pelan pembiayaan yang mencukupi bagi menampung keseluruhan pembinaan dan operasi PDF, atau mengemukakan kebenaran rasmi secara bertulis daripada pihak berkuasa mana-mana negara untuk membawa keluar residu Water Leach Purification (WLP) ke negara itu,” jelas LPTA.

Lynas mesti menamatkan semua aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan penggunaan semula residu radioaktif WLP sebagai Condisoil dalam bidang pertanian.

Lynas juga perlu mengemukakan 0.5 peratus daripada jualan kasar setiap tahun yang ditetapkan untuk usaha penyelidikan dan pembangunan sebelum ini kepada kerajaan Malaysia sebagai cagaran tambahan hingga kemudahan ‘Cracking and Leaching’ di luar negara mula beroperasi.

LPTA menjelaskan syarat-syarat itu diputuskan setelah kerajaan persekutuan Australia dan kerajaan negeri Western Australia memaklumkan kepada Malaysia bahawa pihaknya tidak akan menerima penghantaran balik residu radioaktif WLP Lynas.

Syarat-syarat itu diputuskan juga adalah berdasarkan syor yang dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advanced Materials Plant dalam laporannya pada November 2018.





“Pembinaan PDF perlu disegerakan untuk meminimumkan risiko timbunan residu radioaktif WLP yang kini terkumpul melebihi 580,000 tan di kemudahan penstoran sementara (RSF) yang terdedah kepada ancaman bencana alam seperti banjir besar,” kata LPTA sambil menambah ia akan memantau rapi serta memastikan pembinaan dan pengendalian PDF mengikut piawaian antarabangsa. – BERNAMA
Powered by Blogger.