Menang di Cannes


TIGA pengarah kelahiran Malaysia, Nadiah Hamzah, Syed Madnuh dan Emir Ezwan melakar sejarah istimewa apabila meraih pingat gangsa bagi kategori Pesanan Khidmat Masyarakat di anugerah antarabangsa Cannes Lion 2019 di Perancis, Jun lalu.

Video kempen yang mengangkat tema kepelbagaian kaum dan mesej anti-buli berjudul Voice of The Children itu berjaya menarik perhatian juri selain mengundang emosi dalam jiwa penonton.

Nadiah ketika dihubungi berkata, dia bersama dua rakan lain tidak menyangka kejayaan demi kejayaan diraih mereka menerusi video kempen itu dan terbarui di anugerah Cannes Lion 2019 .

“Sebenarnya acara itu berlangsung Jun lalu, namun trofi kemenangan baru saja tiba di Malayia. Kemenangan ini bukan kemenangan individu, sebaliknya atas usaha tiga pengarah dengan kerjasama agensi pengiklanan Leo Burnett Malaysia.

"Sebagai individu yang berada dalam industri pengiklanan, kami tidak pernah mengejar trofi sebaliknya sentiasa berusaha dan mencari idea yang mampu menarik perhatian masyarakat serta niat untuk membawa kesedaran kepada orang ramai.

"Ketika diumumkan sebagai pemenang dalam acara itu, kami sangat berbangga dan bersyukur apabila segala penat lelah dan mesej positif yang ingin disampaikan diterima ramai. Bagi saya, kemenangan hanyalah bonus buat kami," katanya.

Selain memenangi anugerah berprestij itu, Voice of The Children turut memenangi beberapa anugerah di acara Kancil Awards 2018 (Gangsa), Adfest 2019 (Emas) dan The One Show (Gangsa).

Menurut Nadiah, mengangkat tema buli sebagai subjek utama video kempen itu adalah cetusan daripada Leo Burnett yang mahukan isu yang memberi mesej dan impak kepada penonton.

"Leo Burnett sudah ada tema yang ingin dibuat, tapi saya bersama dua rakan lain bergabung tenaga untuk mencari jalan cerita yang mempunyai pendekatan yang paling memberi kesan kepada umum.

"Alhamdulillah ia bukan saja diterima dalam kalangan rakyat Malaysia, malah turut membuka mata negara luar," katanya.

Pembikinan klip video terbabit dihasilkan Jun tahun lalu dan mula ditayangkan di saluran YouTube Creativity Cannes Lions pada 14 Julai tahun lalu.

Sementara itu, graduan sarjana dari Universiti New York dalam bidang perfileman dan televisyen ini juga gementar menantikan filem pertama arahannya, Motif yang akan ditayangkan pada 26 September depan.

“Filem ini dibintangi Datuk Rosyam Nor dan Sharifah Amani. Ia mengisahkan kehilangan seorang remaja perempuan dan ditugaskan untuk menyiasat misteri pembunuhannya," katanya. - HARIAN METRO
Powered by Blogger.