Penipuan dalam talian aduan pengguna paling tinggi - Saifuddin


Kes penipuan perniagaan dalam talian semakin membimbangkan dan menduduki tempat pertama carta aduan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata bagi tahun ini, pihaknya menerima kira-kira 2,500 aduan pengguna dengan 26.2 peratus daripadanya aduan penipuan perniagaan dalam talian.

“Biasanya kedudukan carta aduan pengguna di monopoli kes kenaikan harga barang, namun bermula bulan lalu, situasi berubah dengan aduan mengenai penipuan perniagaan pula paling tinggi.

“Justeru, saya melihat perlindungan kepada pengguna untuk sebarang urusan dengan peniaga dalam talian perlu diberikan keutamaan ketika ini,” katanya pada sidang media selepas pelancaran aplikasi perkhidmatan digital, MyPay di sini, hari ini.

Beliau berkata, sektor perniagaan dalam talian ketika ini semakin berkembang dan jika masalah penipuan tidak dibendung ia akan menjejaskan hasrat kerajaan merancakkan bidang ekonomi digital.

“Bagi membendung masalah ini, kementerian meningkatkan penguatkuasaan, selain turut memperkenalkan BizTrust bagi mendaftarkan setiap syarikat menjalankan perniagaan dalam talian.

“Sehingga kini, kira-kira 3,000 syarikat sudah berdaftar dengan BizTrust. Kita sasarkan lebih banyak syarikat membuat pendaftaran kerana mereka mendapat pelbagai manfaat berguna,” katanya.

Selain itu, katanya, secara dasarnya segmen perniagaan dalam talian menjanjikan keselesaan kepada peniaga dan pembeli, namun berlaku perlanggaran etika oleh peniaga sehingga menyebabkan pengguna membuat aduan.

“Ada pelbagai aduan diterima dalam sektor ini, antaranya pengguna mendapat barang berlainan daripada dibeli, barang rosak, tempahan tidak sampai dan masalah lain,” katanya.

Mengulas aplikasi MyPay iaitu perkhidmatan digital kerajaan disediakan syarikat tempatan, Dapat Vista Sdn Bhd, Saifuddin Nasution berkata, ia menawarkan kemudahan menyemak baki pinjaman, membuat bayaran pinjaman, mendapat maklumat terkini saman trafik dan cukai tertunggak serta memperbaharui lesen.

“Platform ini menghubungkan pengguna dengan agensi kerajaan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), RAM Credit Information Sdn Bhd dan banyak lagi.

“Sudah tentu kesenangan pengguna menjadi keutamaan dalam usaha dilakukan kementerian. Kita juga sentiasa komited menjadikan perkhidmatan kerajaan semakin mudah untuk rakyat,” katanya. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.