Beberapa jalan utama di Putrajaya ditutup sempena sambutan Hari Kebangsaan


Beberapa jalan utama di Putrajaya akan ditutup dan dilencongkan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 pada 31 Ogos ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Roslan Bek Ahmad dalam kenyataan berkata lencongan serta penutupan jalan akan dibuat bermula 6 pagi sehingga acara selesai.

Beliau berkata jalan terlibat ialah Laman Perdana, Persiaran Perdana, Lebuh Saujana, Jalan Tunku Abdul Rahman, Lebuh Wawasan, Lebuh Bestari, Jalan Pembangunan, Jalan Kemerdekaan dan Lebuh Setia.

"Acara sambutan akan bermula pukul 7.30 pagi dan dijangka berakhir pada 12 tengah hari.

"Sambutan akan dimeriahkan dengan perbarisan serta perarakan aset-aset Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta agensi lain dan dijangka 300,000 orang akan hadir," katanya.

Roslan Bek berkata 5,000 lot parkir awam disediakan bagi memudahkan orang ramai untuk ke lokasi sambutan selain terdapat bas ulang-alik yang disediakan di zon tertentu untuk mengambil dan menurunkan penumpang.

Beliau berkata lokasi mengambil penumpang zon A adalah di Putrajaya Sentral, My Farm dan Ayer 8 manakala bagi zon B pula adalah di parkir awam Presint 14, Kementerian Pengajian Tinggi, Taman Seri Empangan, Park and Ride Presint 14 serta parkir Kompleks E.

"Lokasi menurunkan penumpang pula adalah di Kiblat Walk dan belakang Istana Kehakiman," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi segala arahan dan nasihat yang diberikan agar sambutan Hari Kebangsaan ini akan berjalan lancar.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.