Jawatankuasa kaji keperluan penempatan semula Pasir Gudang

Satu jawatankuasa kini sedang melakukan analisa sama ada wujud keperluan untuk melakukan proses penempatan semula di Pasir Gudang, Johor rentetan dua insiden pencemaran di kawasan itu, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Menurutnya, jawatankuasa yang merangkumi pakar dalam pelbagai bidang termasuk bahan kimia, tanah, sungai, gas dan alam sekitar dijangka dapat menyiapkan laporan dalam tempoh lima minggu.

Yeo berkata analisis mengenai kedudukan sekolah dan kilang perlu dibuat sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri Johor bersama cadangan penempatan semula untuk langkah selanjutnya.

"Jika wujud keperluan untuk menempatkan semula mereka yang ada di Pasar Gudang, perkara seterusnya yang perlu dikaji ialah siapakah pihak pertama yang perlu dikeluarkan,”katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Low Carbon Cities 2030 Challenge di GreenTech Malaysia di sini hari ini.

Menurut Yeo, pembangunan di Pasir Gudang kini kelihatan terlalu padat dengan jumlah keseluruhan 2,000 kilang, dengan 257 daripadanya merupakan kilang berasaskan bahan kimia.

Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar telah selesai memeriksa kesemua 257 kilang berasaskan bahan kimia, dan daripada aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan, tiga kilang dikenakan tindakan mahkamah sementara 12 kilang telah ditamatkan operasi.

Beliau berkata pihak berkuasa juga sudah mengenalpasti kilang di Pasir Gudang yang berisiko tinggi dan bahan yang disyaki membawa pencemaran telah diarahkan untuk dilupuskan.

Dalam pada itu, Yeo berkata 85 sampel yang diambil dari mereka yang menunjukkan simptom dalam insiden gangguan kesihatan di Pasir Gudang telah diuji dan didapati negatif toksik.

"No trace of chemicals," katanya

-- BERNAMA
Powered by Blogger.